OpenAcademy lancar siri ‘Duit Yourself’ tingkat celik kewangan belia

OpenAcademy lancar siri ‘Duit Yourself’ tingkat celik kewangan belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OpenAcademy, platform pendidikan teknologi tempatan melancarkan siri pendidikan kewangan bertajuk ‘Duit Yourself’ bagi membantu golongan muda Malaysia mengurus dan merancang kewangan mereka dengan lebih berkesan.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Financial Education Network (FEN), platform kebangsaan yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dengan penyertaan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) sebagai rakan industri utama.

Pelancaran siri tersebut turut seiring dengan usaha kerajaan menerusi Belanjawan 2026 untuk memperkukuh tahap celik kewangan serta daya tahan kewangan rakyat, khususnya dalam kalangan belia.

Siri ‘Duit Yourself’ yang boleh diakses secara percuma melalui aplikasi OpenAcademy, menampilkan 11 modul pembelajaran praktikal meliputi topik utama seperti memahami slip gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bajet perbelanjaan, pengurusan hutang, penjimatan, pelaburan dan perancangan kewangan jangka panjang.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan OpenAcademy, Celine Ting berkata, siri berkenaan dibangunkan dengan kerjasama pakar dan perancang kewangan bagi menjadikan ilmu kewangan lebih mudah difahami serta relevan dengan kehidupan seharian.

“Celik kewangan bukan sekadar tahu ke mana wang dibelanjakan, tetapi juga tentang keyakinan dalam membuat keputusan kewangan harian. 

“Melalui siri ‘Duit Yourself’, kami bersama FEN dan pakar industri berusaha menghasilkan kandungan yang menarik, boleh dipercayai dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Pelancaran itu turut disertai sesi panel bertajuk “Are Malaysians Financially Literate?” yang membincangkan tahap kesedaran kewangan rakyat Malaysia, kepentingan pendidikan awal serta peranan kolaborasi antara sektor awam dan swasta dalam menutup jurang ilmu kewangan.

Antara ahli panel ialah Perancang Kewangan Berlesen dan Jurulatih Kewangan Bertauliah, Kevin Neoh, Ketua Pegawai Eksekutif VKA Islamic Wealth Management dan Felo MFPC, Anuar Shuib, serta Pengarah Eksekutif Yayasan SOLS, Daniela Strîmbei. 

Selain inisiatif celik kewangan, OpenAcademy turut meneruskan komitmen sosialnya melalui kempen “Teach to Thrive”, yang bertujuan merapatkan jurang pendidikan dan memperkasa komuniti kurang berkemampuan dengan kemahiran dunia sebenar bagi membina masa depan yang lebih baik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN