KUALA LUMPUR: Nexperts Academy terus memacu usaha memperkasa bakat bumiputera dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menerusi pelaksanaan program latihan di bawah inisiatif pembiayaan pendidikan Yayasan Peneraju.
Pengarahnya, Nazreen Abdul Ghani berkata, pemilihan akademi itu sebagai penyedia latihan merupakan pengiktirafan terhadap peranan mereka membangunkan kemahiran digital rakyat sejak lebih 11 tahun lalu.
“Bermula sebagai perniagaan kecil, kami berkembang menjadi penyedia latihan dipercayai. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami kekal komited dan hari ini diberi kepercayaan oleh kerajaan,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Program berkenaan menawarkan latihan dalam bidang Cybersecurity, Networking dan pengkomputeran awan serta AI dengan permintaan tertinggi melibatkan Network and Multicloud Bootcamp dan AI and Machine Learning Bootcamp.
Sementara itu, Pengurus Pemasarannya, Shaazana Abdul Ghani berkata, program tersebut menarik minat ramai peserta bukan IT yang mahu beralih kerjaya kerana modulnya direka khusus untuk pemula selain menawarkan pensijilan antarabangsa seperti Microsoft, EC-Council dan CompTIA.
“Pensijilan ini meningkatkan peluang peserta memasuki kerjaya berkemahiran tinggi tanpa perlu ijazah atau diploma IT,” katanya.
Beliau berkata, skim Single (tiada bayaran balik) yang ditawarkan Yayasan Peneraju memberi kelebihan kepada peserta kerana pembiayaan boleh berubah menjadi geran penuh sekiranya syarat kehadiran dan peperiksaan dipenuhi.
“Peningkatan kemahiran teknologi bukan sahaja membuka peluang pekerjaan lebih baik, malah membantu meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.
Beberapa alumni turut berkongsi kejayaan masing-masing, termasuk memperoleh kenaikan gaji dan berjaya memasuki industri IT meskipun tanpa pengalaman asas.
Permohonan bagi pengambilan terakhir dibuka sehingga 15 Disember ini.-UTUSAN










