KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai segitiga ekonomi Malaysia–Singapura–Indonesia sedang diperinci dalam usaha mewujudkan kerjasama bersama dua wilayah itu melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ).
Zon ekonomi khas tersebut diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau dan menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ASEAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ini selepas kejayaan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilihat membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi serantau.
“Kami semua bersetuju dan idea ini wajar dikaji dengan lebih mendalam. Setelah semua yang terlibat selesai menjalankan penilaian mereka, perbincangan rasmi akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Laporan Prestasi MITI bagi suku ketiga 2025 di Menara MITI.
Sebelum ini, usaha ke arah mewujudkan zon ekonomi seumpama ini pernah dibincangkan namun tidak pernah direalisasikan.
“Walaupun begitu, kesan positif daripada perbincangan terdahulu masih dirasai, justeru keperluan untuk mengkaji semula pelaksanaannya semakin mendesak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, projek kerjasama ekonomi serantau seperti JS-SEZ telah menunjukkan perkembangan positif.
“Oleh itu, perluasan kerjasama ekonomi ke peringkat yang lebih besar dilihat berpotensi memberi manfaat besar kepada perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri di rantau ini.
“Jika diperluaskan, potensi ekonomi yang boleh dijana adalah sangat besar, tetapi pelaksanaannya perlu dilakukan secara mendalam dan terancang,” katanya.
Inisiatif ini dijangka dapat memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN serta menjadikan rantau ini sebagai pusat pertumbuhan baharu yang lebih kompetitif di peringkat global.
Persidangan Kemuncak ASEAN 2025, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yon berkata, kerjasama itu berpotensi menghubungkan tiga wilayah strategik Johor, Batam-Bintan-Karimun (BBK) dan Singapura sekali gus memperkukuh matlamat ASEAN dalam mencapai integrasi ekonomi serantau serta melahirkan ekosistem pertumbuhan yang lebih inklusif.
Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura berkata, perbincangan awal sudah dimulakan antara ketiga-tiga negara bagi meneroka bidang kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat bersama.-UTUSAN









