Microlino: Mungkin ini yang Kuala Lumpur perlukan?

Microlino: Mungkin ini yang Kuala Lumpur perlukan?

SAIZ Microlino ini juga cukup kecil iaitu 2,519 mm panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESESAKAN jalan raya adalah punca utama kenapa kebanyakan kerajaan dalam dunia membuat pelaburan dan memberikan subsidi tinggi untuk sektor pengangkutan awam.

Kewujudan perundangan ber­kaitan alam sekitar menambahkan lagi kepentingan pengangkutan awam kerana penggunaan kenderaan yang tinggi akan meningkatkan pencemaran alam sekitar.

Namun begitu, masalah Malaysia sentiasa berkisar di dalam segmen pengangkutan ‘first mile’ dan ‘last mile’  iaitu bagaimana pengguna mahu ke stesen rel atau bas dan balik.

Bayangkan jika kita mempu­nyai kenderaan persendirian yang efisien kerana menggunakan tenaga elektrik dan kecil untuk mengurangkan ruang parkir iaitu sesuatu seperti Microlino yang penulis pandu uji baru-baru ini.

Microlino ialah sebuah kenderaan elektrik (EV) mikro yang dibangunkan dalam tahun 2016 oleh syarikat Micro Mobility Systems yang berpusat di Zurich, Switzerland. Model unik ini pertama kali dipertontonkan ke dunia semasa Pameran Automotif Geneva dalam tahun yang sama tetapi ia mula dijual kepada pasaran Eropah dalam tahun 2022 bila ia memulakan pengeluaran di kilang mereka di Turin, Itali.

Ia mungkin nampak seperti sebuah kenderaan idea baharu tetapi sebenarnya konsep ini sudah mula wujud sejak tahun 1950an dan antara jenama yang popular ketika itu ialah Isetta, yang dibina oleh syarikat Iso SpA dari Itali. 

Isetta dijual di Argentina, Sepanyol, Belgium, Brazil, Jerman serta United Kingdom (UK) dan syarikat itu membenarkan beberapa syarikat lain, termasuk BMW untuk membeli lesen dan membina varian-varian Isetta ini di negara-negara lain.

Microlino yang diperkenalkan di Malaysia baru-baru ini ialah varian 2.0 yang terkini dan yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan moden dan diterima sebagai kenderaan segmen ‘quadricycle’ dengan kerangka ‘monocoque’ gentian dan sistem gantungan pegas MacPherson depan dan belakang.

Gandar hadapan lebih lebar dari belakang dengan tingkap sisi jenis gelungsur. Lampu belakang ialah satu garisan LED merah tetapi lampu hadapan, yang juga LED, dibina sekali dengan cermin sisi. Ini ialah satu konsep seni bina yang memang unik kepada Isetta tahun 1950an dan diteruskan oleh Microlino.

Ia juga masih mengekalkan konsep pintu hadapan seperti model Isetta dengan keseluruhan muka hadapan termasuk cermin utama itu ialah pintu untuk akses masuk ke kabin. Stereng dan panel meter kekal melekat dari lantai kabin tetapi paparan skrin sesentuh utama yang kecil dipasang pada pintu.

Model ini masih tidak ada pendingin hawa tetapi penulis diberitahu model yang akan datang akan dilengkapi dengan sistem itu.

RUANG kabin yang mampu memuatkan dua penumpang termasuk pemandu.

Untuk masuk ke ruang kabin yang mampu memuatkan dua penumpang termasuk pemandu, memang memerlukan cara yang berbeza iaitu kita seperti mahu masuk ke sebuah kapsul. Ia mampu memuatkan badan penulis setinggi 1.8 meter, cuma perlu dibiasakan.

Bumbung atas boleh digelungsur ke belakang sementara ruang kargo sebesar 230 liter di belakang dibuka menggunakan pintu tradisional. 

Saiz Microlino ini juga cukup kecil iaitu 2,519 milimeter (mm) panjang, 1,473 mm lebar dan 1,501 mm tinggi. Tiga Microlino ini boleh diparkir sebaris di dalam satu lot parkir biasa dan kerana pintunya di hadapan, tidak ada masalah untuk keluar masuk jika diparkir rapat antara satu sama lain.

Dari segi teknikal, unit yang dipandu uji ini menggunakan bateri NMC atau NCA dengan kapasiti 10.5kWh dengan jarak gerak 177 kilometer (km), tidak pasti sama ada itu ialah kiraan NEDC atau WLTP kerana syarikat yang membawa masuk jenama ini, Go Daddy Motorsport Autotrader, tidak begitu pasti akan spesifikasi unit ujian tersebut.

Namun begitu, pengalaman pemanduan penulis mendapati ia boleh dipandu sejauh 100 km dengan mudah, mempunyai halaju maksimum 90 kilometer sejam (kmsj) dan datang dengan pengecas AC terbina (OBC) 2.2 kW.

Pemanduannya cukup mengingatkan penulis kepada model Renault Twizy EV yang pernah diuji oleh penulis di Malaysia dalam tahun 2015 dahulu, cuma tidak seperti Twizy yang tidak ada tingkap dan pintu sepenuhnya dan jauh lebih kecil, Microlino ini mempunyai ciri-ciri lengkap sebuah kenderaan harian.

RUANG kargo.

Walaupun nampak seperti sebuah kereta ‘kartun’, Microlino ini cukup seronok dipandu, terutama di kawasan berliku. Sistem gantungan memang lebih ke arah sporty, seperti sebuah jentera Itali sejati dan dengan pecutan tegar dari motor elektrik, kereta ‘bubble’ ini pantas memintas segala kenderaan lain tanpa disedari.

Bunyi dari tren kuasa jelas kedengaran, seperti Renault Zoe EV, tetapi tidak begitu bingit. Untuk memastikan ia kekal ringan pada 530 kilogram (kg), tidak banyak penebat bunyi dipasang. Unit ini juga tidak ada sistem audio yang lengkap, cuma ada sambungan Bluetooth untuk telefon. 

Penulis memang cukup-cukup terhibur dengan Microlino ini dan walaupun ia adalah unit Panduan Sebelah Kiri, tidak ada masalah untuk memandunya kerana saiz yang kecil. 

Masalah paling utama untuk unit ini adalah ketiadaan pen­dingin hawa dan ia merimaskan kerana cuaca dunia yang semakin panas. Namun begitu menurut Pengarah Urusan Go Daddy Motorsport Autotrader, unit yang bakal diperkenalkan di Malaysia tahun hadapan akan dilengkapi dengan pendingin hawa dan dengan Panduan Sebelah Kanan.

Lesen Kenderaan Motor D (kereta) diperlukan untuk Microlino dan ia tidak dibenarkan untuk dipandu di atas lebuh raya besar seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan sebagainya. Penulis tidak rasa ada yang mahu memandu Microlino ini di atas lebuh raya di mana kenderaan berat seperti bas dan lori boleh menyamai halaju maksimum kereta cilik ini dan dengan saiz yang cukup mungil, menakutkan bila ada bas ekspress mencucuk di belakang.

Untuk kegunaan bandar, ini ialah satu mod pengangkutan yang praktikal, bergaya dan cukup menyeronokkan.

Harga masih tidak lagi dibincangkan tetapi jangkaan penulis, ia akan melangkaui RM110,000. 

Jika ia dipasang di Malaysia dengan skala besar, tak mustahil ini boleh menjadi satu pilihan pengangkutan rakyat Malaysia kerana ia lebih selamat dari motosikal, ia memberikan perlindungan cuaca yang bagus dan saiz yang kecil membolehkan ia diparkir di kawasan sempit.

Tepuk dada tanya selera, namun yang pasti, penulis sudah jatuh hati dengan Microlino ini! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN