PETALING JAYA: Maybank menjalin kerjasama strategik dengan platform pembayaran perdagangan rentas sempadan terkemuka dunia, XTransfer, bagi memperkukuh penyelesaian kewangan rentas sempadan dan memperluas penawaran produk patuh syariah di rantau ASEAN.
Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua organisasi akan menggabungkan kepakaran masing-masing untuk menyediakan penyelesaian kewangan sehenti merangkumi pembayaran domestik dan antarabangsa serta penukaran mata wang asing (FX) di pasaran utama seperti ASEAN, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Kerjasama itu turut memanfaatkan teknologi baharu dan inovasi digital termasuk API, platform digital, penyelesaian kutipan dan akaun maya, bagi membolehkan pemprosesan transaksi serta penukaran mata wang secara automatik dan masa nyata, sekali gus meningkatkan kecekapan, kebolehskalaan dan kebolehpercayaan perkhidmatan kewangan rentas sempadan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, kerjasama berkenaan membolehkan transaksi rentas sempadan dan kutipan pembayaran dilakukan dengan lebih lancar serta kadar tukaran asing yang kompetitif untuk peniaga terlibat dalam perdagangan ASEAN-China.
“Kedua-dua rantau ini kini merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain, dengan nilai dagangan keseluruhan dijangka mencecah AS$1 trilion tahun ini.
“Melalui kehadiran kukuh Maybank di pasaran utama ASEAN, kami berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong keperluan rentas sempadan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Mengiktiraf permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kewangan patuh Syariah di ASEAN, Maybank dan XTransfer turut akan meneroka pembangunan produk FX dan pembayaran patuh syariah yang disesuaikan mengikut keperluan perniagaan di rantau ini.
Kerjasama komprehensif ini sekali gus memperluas liputan XTransfer di Asia Tenggara serta keupayaan penyelesaian berbilang mata wang, selain menyokong strategi Maybank untuk memperkukuh rangkaian serantau dan keterhubungan ekosistemnya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif XTransfer, Bill Deng berkata, kerjasama dengan Maybank merupakan langkah penting dalam memperkukuh perkhidmatan syarikat di rantau ASEAN.
“Dengan keupayaan kutipan tempatan, penukaran mata wang asing dan potensi penyelesaian patuh syariah yang lebih kukuh, kami dapat membantu perniagaan mengurangkan kos, meningkatkan aliran tunai serta kecekapan transaksi.
“Kami juga akan terus memperkukuh pematuhan dan pengurusan risiko bagi membina infrastruktur kewangan rentas sempadan yang dipercayai,” katanya.
—habis










