Manulife tekankan inklusif sebagai strategi perniagaan kritikal

Manulife tekankan inklusif sebagai strategi perniagaan kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Manulife menegaskan prinsip inklusif bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat, tetapi satu strategi komersial yang kritikal untuk pertumbuhan dan daya saing syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Holdings Berhad dan Manulife Insurance Berhad, Vibha Coburn berkata, pendekatan inklusif membolehkan syarikat memanfaatkan bakat yang berbeza, menjangkau pasaran yang kurang baik dan seterusnya meningkatkan inovasi serta keuntungan.

“Jika kita tidak inklusif, kita akan terlepas peluang untuk mendapatkan tenaga kerja yang mempunyai perspektif, kekuatan dan kelebihan berbeza. 

“Ini termasuk kepelbagaian jantina serta kepelbagaian neurodivergen yang merangkumi hampir separuh daripada populasi,” katanya dalam forum bersama media bertemakan memperjuangkan kepelbagaian: perjalanan Malaysia ke arah kepimpinan inklusif di sini. 

Vibha berkata, inklusif bukan tentang mengambil pekerja yang kurang berkelayakan, tetapi mengenai mengenal pasti dan memanfaatkan bakat berkualiti yang selama ini mungkin diabaikan.

“Saya menyeru syarikat untuk memasukkan prinsip inklusif ke dalam proses perniagaan utama, termasuk pembangunan produk, perkhidmatan dan dasar sumber manusia. 

“Contohnya, Manulife tidak lagi meminta maklumat mengenai umur atau jantina calon dalam proses pengambilan pekerja. Penilaian dilakukan semata-mata berdasarkan kelayakan calon,” katanya.

Penyelidikan terkini menekankan kepelbagaian neuro (neurodiversity) yang mewakili anggaran 15 peratus hingga 20 peratus daripada populasi dan kira-kira 17 peratus daripada tenaga kerja, boleh menjadi pemacu inovasi yang hebat apabila organisasi menerima keterangkuman neuro.

Kajian menunjukkan pasukan yang pelbagai dari segi kognitif menyelesaikan masalah kompleks sehingga tiga kali lebih pantas berbanding pasukan yang homogen dan organisasi inklusif adalah 75 peratus lebih berkemungkinan untuk melihat idea mereka bertukar menjadi produk dan 87 peratus lebih berkemungkinan untuk membuat keputusan yang lebih baik. 

Dengan memupuk persekitaran yang menghargai gaya pemikiran dan modaliti pembelajaran yang berbeza, syarikat dapat merungkai daya kreativiti, daya tahan dan ketangkasan keupayaan kritikal untuk maju dalam landskap perniagaan hari ini yang pesat berubah. 

Beliau juga merujuk kajian McKinsey yang menunjukkan syarikat dengan kepelbagaian tinggi berpotensi meningkatkan kualiti keputusan pelaburan dan pulangan pelaburan (ROI) sehingga 25 peratus. 

“Ini bukan sahaja tindakan yang betul dari segi moral, tetapi juga keputusan strategik yang bijak,” ujarnya.

Dalam pengalamannya di Manulife, Vibha berkata, perjalanan menuju inklusif adalah proses berperingkat. 

“Ia memerlukan kerjasama dengan rakan kongsi yang tepat dan kesediaan pemimpin perniagaan untuk mempertimbangkan calon dengan keperluan berbeza. 

“Sebagai contoh, syarikat menyediakan jurulatih untuk membantu menyokong pekerja berkeupayaan berbeza, serta memberi panduan kepada pengurus tentang cara menyesuaikan persekitaran kerja tanpa menjejaskan produktiviti.

“Perjalanan ini menuntut kesabaran, pemahaman, dan komitmen yang konsisten. Tetapi apabila dilakukan dengan cara yang betul, inklusif mampu mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan meningkatkan nilai strategik syarikat,” katanya.

Beliau berkata,  inklusif bukan sekadar aktiviti komuniti atau tanggungjawab sosial, tetapi langkah strategik yang memberikan keuntungan ekonomi sebenar, membina kepercayaan pelanggan dan membolehkan syarikat mengakses pasaran yang lebih luas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN