KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menunggu hasil prosiding undang-undang yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif dan akan mengikuti proses yang sewajarnya sekiranya keputusan tersebut memberi kesan kepada negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sekiranya keputusan rundingan itu memberi kesan, kerajaan akan mendapatkan nasihat perundangan bagi menentukan tindakan lanjut.
“Apabila kita menandatangani sesuatu perjanjian, niat itu perlu betul. Jika strategi kita ialah menandatangani tetapi menunggu ratifikasi atau menunggu sesuatu di luar kawalan kita, itu bukan satu tindakan yang jujur.
“Sebagai kerajaan Malaysia, jika kita telah memberi komitmen, kita mesti menunjukkan komitmen itu, jika tidak, kredibiliti kita akan terjejas.
“Jadi, sekiranya mahkamah persekutuan telah membuat keputusan dan perkara itu perlu dibawa ke Kongres kerana beliau dianggap presiden dan mempunyai kuasa eksekutif untuk melaksanakan arahan, maka kita akan menunggu sehingga proses kongres selesai,” katanya katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Laporan Prestasi MITI bagi suku ketiga 2025 di Menara MITI.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul berkata, Malaysia melihat potensi pertumbuhan besar dalam sektor semikonduktor dan komited untuk mencapai hasil yang menguntungkan dalam rundingan Seksyen 232 bersama AS yang melibatkan sektor kritikal.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), AS akan memberi pertimbangan khas kepada sektor semikonduktor Malaysia dalam rundingan tarif di bawah Section 232 Akta Perluasan Perdagangan AS 1962.
Katanya, setakat ini, sebanyak 1,711 produk eksport Malaysia ke AS menikmati tarif sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan AS.
“Walaupun semikonduktor belum termasuk dalam perjanjian itu, ia masih menikmati kadar sifar buat masa ini,” katanya.
“Sejujurnya, rundingan di bawah Seksyen 232 masih berjalan. Kajian mengenai kesannya terhadap keselamatan ekonomi AS juga masih diteruskan.
“Namun bagi pihak kita, Malaysia akan terus berunding kerana perjanjian ART ini membuka peluang yang lebih baik untuk berunding dalam sektor semikonduktor,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia akan memfokuskan pembukaan pasaran baharu, seperti dalam Belanjawan 2026, di mana kerajaan telah meningkatkan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) sebanyak 100 peratus bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran luar negara melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Selain itu, Malaysia juga menyasarkan untuk memperkukuh kehadiran di pasaran sedia ada, khususnya di Amerika Latin dan Afrika, di mana syarikat-syarikat Malaysia sudah mempunyai kedudukan yang kukuh.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas peluang perdagangan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi.
habis/









