Malaysia berpotensi tarik pelaburan RM24.5 bilion

Malaysia berpotensi tarik pelaburan RM24.5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menarik pelaburan bernilai RM24.5 bilion serta membuka peluang eksport sebanyak RM33.6 bilion, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap daya saing dan pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum kukuh pada suku ketiga 2025, dipacu oleh aliran masuk pelaburan asing yang tinggi, pengeluaran industri yang berkembang, serta prestasi perdagangan yang mampan.

“Prestasi suku tahun ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai serta negara perdagangan yang proaktif. 

“Potensi pelaburan bernilai RM24.5 bilion dan peluang eksport sebanyak RM33.6 bilion membuktikan keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Laporan Prestasi MITI bagi suku ketiga 2025 di Menara MITI.

Menurut Tengku Zafrul, pencapaian ini adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan memperkukuh dasar pelaburan dan perdagangan termasuk inisiatif promosi strategik serta kerjasama antarabangsa bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dan berimpak besar kepada ekonomi negara.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperluas pasaran eksport Malaysia, selaras dengan visi negara untuk menjadi hab pelaburan dan perdagangan utama di rantau ASEAN.

Selain itu, beliau berkata, pelaburan digital terus mencatat lonjakan, mencapai RM335.3 bilion sejak 2021, dengan projek pusat data menyumbang RM235 bilion.

“MITI juga merekodkan pelaburan hijau bernilai RM25.4 bilion di bawah Strategi Pelaburan Hijau, merangkumi tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan projek mobiliti hijau. 

“Kita sedang membina asas industri yang bersedia menghadapi masa depan berteraskan digitalisasi, kelestarian dan keterangkuman. Pusat fasilitasi MITI telah menyelesaikan lebih 37,000 kes pelabur, membuktikan komitmen Malaysia dalam memudahkan perniagaan,” katanya.

Beliau menekankan, penandatangan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-AS (ART) merupakan kejayaan diplomatik dan ekonomi, melindungi nilai perdagangan RM325 bilion dan memastikan akses pasaran stabil untuk 1,711 barisan tarif bernilai RM22 bilion, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa dan farmaseutikal.

“Usaha diversifikasi perdagangan MITI juga menunjukkan momentum kukuh pada 2025, dengan pertumbuhan eksport ketara ke negara-negara Afrika dan BRICS, termasuk Angola (59.3 peratus), Ethiopia (56.4 peratus) dan Mesir (53.6 peratus). 

“Eksport sektor E&E meningkat 16.7 peratus tahun ke tahun, manakala eksport farmaseutikal melonjak 24.7 peratus, mencerminkan impak Pelan Induk Industri Negara (NIMP 2030),” katanya. 

Berdasarkan laporan itu berkata, gaji median sektor pembuatan meningkat 23 peratus kepada RM2,490 sejak 2021, manakala nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan mencapai RM96.9 bilion, naik 3.7 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, di bawah transformasi industri MITI termasuk kereta elektrik pertama Perodua yang mencapai 90 peratus siap dan masih mengikut jadual untuk dilancarkan pada akhir 2025, program Smart Factory melebihi sasaran 2025 dengan 26 kilang diiktiraf menjelang suku ketiga 2025, Strategi Semikonduktor Negara memperoleh pelaburan RM64 bilion sambil melatih 17,000 pekerja mahir dan membangunkan 13 syarikat Malaysia berpotensi tinggi. 

Tengku Zafrul berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah menyiapkan 12 daripada 18 Keutamaan Ekonomi termasuk memajukan Perjanjian Rangka Ekonomi Digital ASEAN dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA 3.0), memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemacu integrasi perdagangan serantau.

“Melalui diplomasi strategik dan transformasi industri, Malaysia sedang memposisikan diri sebagai pemain global yang tahan lasak, neutral dan inovatif dalam perdagangan dan teknologi,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN