PETALING JAYA: Malaysia terus mencatat lebihan Imbangan Akaun Semasa (CAB) pada suku ketiga 2025 berjumlah RM12.2 bilion, disokong oleh prestasi kukuh eksport barangan serta perkembangan dalam sektor perkhidmatan.
Sektor perkhidmatan mencatat lebihan buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun, menandakan pemulihan sejak 2011.
Akaun Kewangan pula mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM11.2 bilion, terutamanya disumbangkan oleh Pelaburan portfolio.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, akaun barangan mencatat lebihan eksport bersih sebanyak RM33.3 bilion pada suku ketiga, hampir dua kali ganda berbanding RM17 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya.
“Eksport barangan meningkat sebanyak 4.3 peratus suku ke suku kepada RM293.6 bilion, didorong oleh kenaikan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, dengan destinasi utama eksport ke Singapura, Amerika Syarikat dan China.
“Sebaliknya, import barangan menurun sebanyak 1.6 peratus untuk merekodkan RM260.3 bilion.
“Kategori utama import merangkumi barangan perantaraan, diikuti oleh barangan modal dan barangan penggunaan yang kebanyakannya diperoleh dari China, Taiwan dan Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, akaun Perkhidmatan mencatat lebihan sebanyak RM0.7 bilion pada suku ketiga 2025, berbanding defisit RM3.3 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya.
“Perkembangan ini menandakan pemulihan yang ketara selepas 56 suku sejak mencatat lebihan pada suku ketiga 2011, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam komponen perjalanan.
“Eksport perkhidmatan berjumlah RM68.6 bilion, manakala import mencatat RM67.9 bilion. Terimaan Perjalanan meningkat sebanyak 11.8 peratus berbanding suku sebelumnya kepada RM29 bilion, didorong oleh peningkatan ketibaan pelawat antarabangsa.
“Pada masa sama, import perjalanan turut meningkat sebanyak 9.8 peratus kepada RM15.9 bilion, berikutan peningkatan perbelanjaan pendidikan luar negara. Sehubungan itu, komponen perjalanan mencatat lebihan bersih yang tinggi sebanyak RM13.1 bilion,” katanya.
Selain itu, Mohd. Uzir berkata, pendapatan yang diperoleh oleh pelabur asing di Malaysia meningkat kepada RM38.9 bilion, disokong oleh pulangan pelaburan yang lebih kukuh dalam kategori yang sama.
“Akaun Pendapatan Sekunder terus menunjukkan peningkatan, dengan bayaran bersih mengecil kepada RM1.8 bilion daripada RM4.6 bilion, sejajar dengan peningkatan kiriman wang dan aliran masuk pendapatan ke dalam Malaysia,” katanya.
Akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM11.2 bilion, berbanding RM2.2 bilion pada suku sebelumnya.
Aliran keluar yang lebih tinggi ini terutamanya disebabkan oleh pelaburan portfolio berjumlah RM28 bilion, disebabkan oleh penebusan bon yang telah matang oleh bukan residen, disokong dengan peningkatan pelaburan dalam sekuriti asing oleh pelabur Malaysia.
Derivatif kewangan turut merekodkan aliran keluar bersih RM0.8 bilion, manakala aliran masuk bersih direkodkan dalam pelaburan lain sebanyak RM10.9 bilion dan pelaburan langsung RM6.8 bilion.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih daripada RM1.6 bilion kepada RM8.5 bilion pada suku ketiga, disokong oleh suntikan ekuiti yang lebih besar.
Kebanyakan aliran masuk FDI disalurkan ke sektor perkhidmatan, khususnya dalam subsektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti kewangan, terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pusat data.
Pelabur utama FDI adalah dari Singapura, China dan Jepun.
Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.7 bilion daripada aliran masuk bersih RM0.6 bilion pada suku tahun sebelumnya.
Aliran masuk ini terutamanya disebabkan oleh pencairan ekuiti dan pendapatan dilabur semula, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada subsektor perdagangan borong dan runcit.
Singapura, Thailand dan Angola merupakan penyumbang utama kepada aliran masuk DIA pada suku ini.
Sehingga akhir suku ketiga 2025, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi berjumlah RM77.3 bilion.
Jumlah kedudukan aset kewangan bernilai RM2.59 trilion, mengatasi jumlah liabiliti sebanyak RM2.51 trilion.
Jumlah keseluruhan pelaburan bagi FDI dan DIA masing-masing adalah RM1.021 trilion dan RM615.8 bilion.
Asia kekal sebagai rantau utama bagi kedua-dua pelaburan, dengan FDI kebanyakannya dari Singapura dan Hong Kong, manakala DIA banyak dilaburkan di Singapura dan Indonesia.
Selain itu, Rizab Antarabangsa Malaysia berjumlah RM520.8 bilion pada akhir September 2025. – UTUSAN










