PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2024.
Bagi suku ketiga pula, dana persaraan tersebut melaporkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pertumbuhan 11 peratus dalam jumlah pendapatan pelaburan serta 12 peratus dalam aset di bawah pengurusan adalah hasil pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP mengambil peluang daripada pemulihan pasaran ekuiti pasca ‘Liberation Day’.
Katanya, pihaknya yakin terhadap kekuatan ekonomi Malaysia yang merangkumi 61 peratus portfolio KWSP, di samping melaksanakan strategi pelaburan global yang menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku ini.
“Walaupun prestasi sembilan bulan pertama adalah memberangsangkan, kami kekal berwaspada memasuki suku keempat.
“Pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi global yang tidak sekata boleh memperlahankan kadar penurunan kadar faedah.
“KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada suku keempat,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang suku tahun yang dikaji, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan menjana RM16.95 bilion atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Walaupun sedikit menurun daripada RM18.35 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2024, prestasi ini menunjukkan pemulihan berbanding prestasi yang lebih sederhana pada suku pertama dan kedua 2025.
Tambahnya, pertumbuhan pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut membolehkan pengurus dana KWSP memanfaatkan peluang pasaran dan mengambil keuntungan.
“Instrumen pendapatan tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal dengan menjana RM6.75 bilion, atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tahun tersebut.
“Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, menyediakan aliran pendapatan yang stabil dan membantu mengimbangi turun naik pasaran jangka pendek, sekali gus menyokong kestabilan keseluruhan portfolio,” jelasnya. – UTUSAN










