PETALING JAYA: China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL), kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyiapkan Segmen C1B, menandakan kejayaan pelaksanaan fasa awal kerja-kerja sivil sepanjang jajaran dari Kelantan hingga ke Terminal Bersepadu Gombak.
Segmen C1B meliputi jajaran teknikal penting yang menghubungkan laluan keluar Terowong Genting ke Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak.
Ia merangkumi Terowong Gombak, dua jambatan utama serta kerja-kerja subgred yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan jajaran Pantai Timur dan Pantai Barat bagi keseluruhan laluan ECRL.
Pengarah Urusan CCC-ECRL, Deng Bo berkata, projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 88.08 peratus sehingga Oktober 2025, mencerminkan komitmen dan koordinasi kukuh pasukannya.
“Penyempurnaan Segmen C1B ini merupakan satu pencapaian penting dalam kerja-kerja sivil sepanjang jajaran Selangor, yang melibatkan keadaan geologi yang mencabar dan ruang pembinaan yang terhad.
“Lokasi segmen ini berhampiran hab pengangkutan utama serta jajaran lebuh raya turut menambah cabaran kejuruteraan dan logistik, menjadikan kejayaan ini amat bermakna,” katanya di sini, semalam.
Kerja-kerja pembinaan Segmen C1B bermula pada September 2022.
Sepanjang proses tersebut, CCC-ECRL bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa setempat, melaksanakan langkah-langkah pengurusan trafik yang teliti, dan menyelaras operasi di tapak bagi memastikan kemajuan yang selamat dan efisien.
Bagi memastikan keselamatan dan pembinaan yang berkualiti, CCC-ECRL turut mengaplikasikan pendekatan kejuruteraan inovatif seperti analisis simulasi struktur terperinci, kaedah prafabrikasi modular serta pengukuran digital berketepatan tinggi.
Pendekatan-pendekatan ini membolehkan kerja-kerja dijalankan secara efektif dalam kawasan taburan penduduk padat, sekali gus menunjukkan komitmen CCC-ECRL terhadap keunggulan teknikal dan operasi selamat.
Penyempurnaan penanda aras kerja sivil ini turut meletakkan asas yang kukuh bagi fasa pembinaan seterusnya, termasuk kerja pemasangan landasan dan sistem di Selangor serta ujian dan pentauliahan untuk keseluruhan jajaran.
Ini menandakan langkah penting bagi projek ECRL ke arah mencapai kesalinghubungan penuh dan penyempurnaan fasa pertama kerja pembinaan menjelang akhir tahun 2026. – UTUSAN










