PETALING JAYA: Jualan S P Setia Berhad (Setia) melonjak 78 peratus kepada RM1.59 bilion pada suku ketiga 2025, berbanding RM894 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, prestasi cemerlang suku ketiga itu adalah hasil daripada strategi berterusan Kumpulan dalam mengoptimumkan transaksi tanah serta penyampaian jualan pembangunan yang konsisten.
“Lonjakan jualan suku ketiga ini membuktikan komitmen kami untuk menyediakan produk berkualiti dan mengembangkan portfolio hartanah Setia.
“Walaupun pasaran menghadapi ketidaktentuan global dan kos pembinaan meningkat, kami kekal optimis secara berhati-hati untuk meneroka peluang pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut laporan kewangan kumpulan, jualan pembangunan domestik menyumbang RM2.91 bilion atau 83 peratus daripada jumlah jualan sembilan bulan pertama, dengan Wilayah Selatan dan Tengah mencatat sumbangan masing-masing RM1.25 bilion dan RM1.48 bilion.
“Projek antarabangsa pula menyumbang RM577 juta, bersamaan 17 peratus daripada jumlah jualan.
“Kumpulan turut mencatat hasil RM2.59 bilion dan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) RM498 juta, majoritinya disumbangkan oleh projek tempatan.
“Dalam masa sama, Setia berjaya menurunkan pinjaman, dengan nisbah net gearing semasa 0.35x, sejajar dengan strategi pengurangan hutang kumpulan,” katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai 2025 telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, memberi dorongan kepada industri pembangunan hartanah terutamanya dalam segmen kediaman dengan meningkatkan kemampuan pembeli dan mengurangkan kos pembiayaan pemaju.
Bagi merancakkan lagi pertumbuhan, Setia meneruskan pembangunan bandar katalis, taman industri mesra alam dan perkongsian strategik.
Antaranya, usaha sama dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd untuk membangunkan projek kediaman seluas 113 ekar di Setia EcoHill, Semenyih, dengan 683 unit rumah dijangka dilancarkan pada 2026 dan mempunyai Jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1.3 bilion.
Di peringkat antarabangsa, projek Setia Edenia di EcoXuan, Ho Chi Minh City, Vietnam, dengan GDV US$81 juta (RM381.1 juta) dijangka siap pada 2027 dan bakal menjadi mercu tanda di koridor utara bandar itu.
Setia menegaskan komitmennya untuk mencapai sasaran jualan RM4.8 bilion tahun ini, seiring dengan langkah kerajaan dalam Belanjawan 2026 Malaysia Madani yang dijangka merangsang pasaran hartanah melalui pengecualian duti setem dan skim kewangan bagi pembeli rumah pertama. – UTUSAN










