Johor Bahru City Square dinaik taraf, siap suku keempat 2027 - Utusan Malaysia

Johor Bahru City Square dinaik taraf, siap suku keempat 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Bahru City Square (JBCS), nadi pusat beli-belah Johor Bahru, melancarkan pelaksanaan Inisiatif Peningkatan Aset (AEI) secara berfasa yang akan bermula pada bulan ini dan disasarkan siap sepenuhnya pada suku keempat 2027.

Menurut kenyataan, kerja-kerja transfomasi itu akan mengukuhkan kedudukan dan memperkasakan statusnya sebagai destinasi beli-belah dan gaya hidup pilihan utama di Johor Bahru.

Jelasnya, terletak secara strategik hanya beberapa minit dari Tambak Johor Bahru-Singapura, JBCS telah lama menjadi destinasi beli-belah popular untuk warga Malaysia dan Singapura.

“Projek pembangunan dan penaiktarafan ini akan menampilkan wajah baharu, dengan ruang dalaman yang moden dan dinaiktaraf, pilihan beli-belah yang lebih banyak serta zon pengalaman baharu.

“Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan JBCS sebagai nadi utama beli-belah, santai dan gaya hidup untuk masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

JBCS diperluaskan daripada 547,076 kaki persegi kepada 568,927 kaki persegi dan dapat menampung lebih 300 penyewa, merangkumi fesyen, kesihatan, gaya hidup, teknologi dan pengalaman santai yang kesemuanya ditempatkan di aras khusus masing-masing.

Menurutnya, transformasi itu bukan sekadar perubahan dari segi rupa fizikal pusat beli-belah itu tetapi juga tentang visi memperkenalkan destinasi yang bersedia menghadapi masa depan.

“JBCS telah lama menjadi pusat beli-belah pilihan, bukan sahaja di kalangan pengunjung tempatan, malahan pelawat dari luar negara.

“Dengan gabungan penaiktarafan dari segi estetik, kepelbagaian pilihan jenama serta pengalaman menarik yang ditawarkan, kami berhasrat memastikan JBCS terus berkembang sebagai destinasi pilihan utama generasi kini dan akan datang,” ujarnya.

Kerja-kerja transformasi itu turut akan dibahagikan mengikut lima fasa berbeza dan sepanjang tempoh berkenaan pusat beli-belah itu akan terus beroperasi seperti biasa, sementara zon zon baharu akan dibangunkan serta ruang sedia ada yang lain melalui proses penaiktarafan dan pengubahsuaian.

Melangkah kehadapan, JBCS berkata, pembangunan pangsapuri hotel di bahagian atas pusat beli-belah yang dijangka siap pada suku kedua 2028 bakal memperkenalkan pengalaman baharu.

“Ia akan menggabungkan elemen hidup, bekerja dan bersantai, menjadikan JBCS sebagai hab gaya hidup bersepadu di Johor Bahru.

“Selain itu, JBCS dijangkakan akan menerima peningkatan ketara dalam jumlah kedatangan pengunjung tempatan dan luar negara.

“Ini melalui kewujudan landasan Rapid Transit System Link (RTS Link) yang bakal beroperasi pada hujung 2026 dan menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dalam masa enam minit serta mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam sehala,” katanya.

Tambahnya, transformasi akan menggalakkan kepelbagaian penawaran pengalaman beli-belah dan pertumbuhan penyewa.

“Ia turut memupuk pembangunan ruang komuniti yang mengukuhkan peranan JBCS sebagai destinasi beli-belah dan gaya hidup serba lengkap di selatan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN