PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.7 peratus pada September 2025, berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, berkata peningkatan tersebut dipacu oleh pertumbuhan positif dalam sektor perlombongan (10.2 peratus) dan sektor pembuatan (5.0 peratus), manakala sektor elektrik turut meningkat sebanyak 2.8 peratus.
“Pertumbuhan ini menunjukkan momentum ekonomi yang semakin stabil, khususnya dalam aktiviti pembuatan dan pengeluaran petroleum mentah.
“Bagi sektor pembuatan, industri berorientasikan domestik meningkat 5.3 peratus, disokong oleh pembuatan produk prosesan makanan (9.0 peratus), logam asas (6.1 peratus) dan produk logam yang direka (4.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, industri berorientasikan eksport turut meningkat 4.8 peratus, digerakkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.8 peratus) serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (7.4 peratus).
Katanya, dalam sektor perlombongan, pertumbuhan 10.2 peratus dipacu oleh peningkatan pengeluaran petroleum mentah dan kondensat sebanyak 13.0 peratus, meskipun pertumbuhan pengeluaran gas asli sedikit perlahan pada kadar 8.5 peratus.
“Sektor elektrik pula terus menunjukkan peningkatan sederhana sebanyak 2.8 peratus, lebih baik berbanding 1.2 peratus pada Ogos.
“Di peringkat global, trend pertumbuhan IPP turut direkodkan oleh beberapa negara Asia, termasuk Singapura (16.1 peratus), Taiwan (15.5 peratus) dan Korea Selatan (11.6 peratus), manakala China (6.5 peratus), Jepun (3.4 peratus) dan Thailand (1.0 peratus) mencatatkan pertumbuhan sederhana,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi tempoh suku ketiga 2025, IPP Malaysia meningkat 4.9 peratus, lebih tinggi berbanding 2.0 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh peningkatan dalam semua sektor utama.
Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari hingga September 2025, IPP berkembang pada kadar sederhana 3.1 peratus berbanding 3.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu. – UTUSAN










