PETALING JAYA: Hanya 58 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa mereka mempunyai dana yang mencukupi untuk persaraan, menurut kajian Manulife Investment Management.
Ini menyebabkan hanya enam peratus daripada mereka menantikan untuk menikmati fasa persaraan.
Menurut Laporan Daya Tahan Kewangan dan Jangka Hayat 2025, majoriti atau 94 peratus rakyat Malaysia masih membayangkan mereka bekerja selepas bersara, walaupun separuh daripada mereka tidak berminat untuk berbuat demikian.
Katanya, laporan mendedahkan bahawa rakyat Malaysia ingin hidup lebih baik dan bukan sekadar lebih hidup lebih lama.
“Memandangkan rakyat Malaysia lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti dalam hal panjang umur, tiga senarai keinginan utama mereka dalam hal ini adalah berdikari dan bebas dari segi kewangan
“Selain itu, mereka juga ingin aktif secara fizikal, mental dan sosial serta menikmati kehidupan dan ketiga adalah menua dengan anggun, fizikal dan mental,” katanya.
Berkaitan pelaburan pula, laporan mendapati rakyat Malaysia masih banyak memperuntukkan wang tunai yang merangkumi separuh daripada pelaburan bukan hartanah mereka, diikuti oleh insurans simpanan/insurans anuiti dan dana bersama.
Menurutnya, keengganan untuk mempelbagaikan pelaburan ke dalam ekuiti berpunca daripada kebimbangan risiko dan kerugian, walaupun lebih separuh mengakui keperluan untuk mengalihkan wang tunai kepada pelaburan berpotensi yang lebih tinggi.
Jelasnya, halangan utama bagi mereka berbuat demikian ialah kekurangan pengetahuan pelaburan.
“Walaupun rakyat Malaysia masih menganggap hartanah sebagai bahagian teras portfolio pelaburan mereka, kepentingannya semakin berkurangan.
“Rakyat Malaysia kini lebih cenderung untuk memegang skim pencen berbanding hartanah, dengan lebih separuh percaya bahawa pemilikan hartanah boleh menghakis simpanan masa depan.
“Malah, 62 peratus sanggup melabur dalam produk penjana pendapatan, didorong oleh keinginan untuk pendapatan persaraan yang stabil dan perlindungan terhadap inflasi,” ujarnya.
Tambahnya, apa yang menarik adalah 72 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau menggunakan dengan perancang kewangan,lebih tinggi daripada purata keseluruhan Asia iaitu sekitar separuh dan lebih tinggi daripada 62 peratus di Hong Kong.
Ketua Persaraan Asia Manulife, Calvin Chiu berkata, umur panjang sedang membentuk semula cara orang ramai di seluruh Asia berfikir tentang persaraan.
“Kita melihat orang ramai memikirkan semula apa erti persaraan dan bukan sekadar hidup lebih lama, tetapi hidup lebih baik.
“Kebebasan kewangan, kesihatan dan kesejahteraan kini menentukan kejayaan dalam era baharu umur panjang ini,” jelasnya.
Penemuan Laporan Daya Tahan Kewangan dan Jangka Hayat 2025 di Asia diambil daripada Tinjauan Asia Care Manulife yang dijalankan antara Januari dan Februari 2025.
Kajian ini mengumpulkan pandangan daripada lebih 9,000 responden berumur 25 tahun ke atas merentasi sembilan pasaran iaitu China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Singapura, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Filipina.-UTUSAN










