FWD Takaful, Arus Academy anjur program literasi kewangan - Utusan Malaysia

FWD Takaful, Arus Academy anjur program literasi kewangan

FWD Takaful, Arus Academy anjur program literasi kewangan untuk pelajar sekolah terpilih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Fun(d) for Life (FFL) anjuran FWD Takaful dan Arus Academy terus memperkasa belia Malaysia agar lebih berdaya tahan kewangan melalui pembelajaran interaktif yang memberi tumpuan kepada pelajar.

Memasuki edisi ketujuh tahun ini, FFL terus mengubah cara pelajar mempelajari pengurusan wang menerusi pendekatan permainan dan aktiviti praktikal.

Sejak dilancarkan, program ini telah memberi pendedahan kepada lebih 123,000 pelajar di seluruh negara dan kini menjadi antara inisiatif literasi kewangan dengan impak paling tinggi di Malaysia untuk pelajar sekolah.

Ketua Program FFL, Alina Amir berkata, sempena Bulan Literasi Kewangan sepanjang Oktober, murid di seluruh negara telah melaksanakan projek peringkat sekolah dengan sokongan geran mikro dari Fun(d) for Life bernilai RM500.

Ujarnya, melalui projek ini, mereka merancang dan menjalankan pelbagai inisiatif kreatif bertemakan kewangan di komuniti masing-masing.

“Antara inisiatif tersebut termasuk karnival simpanan di Sabah, cabaran simpanan rakan sebaya di Kedah, kempen kesedaran di sekolah, serta membangunkan cara mudah bagi membantu rakan mencatat dan mengurus perbelanjaan di Terengganu.

“Daripada pelbagai projek yang dijalankan, seramai 100 murid cemerlang telah dipilih untuk membentuk Majlis Perwakilan Murid FFL yang pertama, mewakili sekolah-sekolah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Alina berkata, dalam Program Kemuncak Pendidikan Kewangan FFL yang diadakan di UTM Hotel & Residences, Kuala Lumpur, Majlis Perwakilan Murid telah menerima latihan sebagai fasilitator, menjalankan bengkel simulasi serta memimpin sesi permainan interaktif berkaitan bajet, simpanan, perbelanjaan bijak dan perlindungan kewangan.

“Program itu direka untuk menjadikan ilmu kewangan sesuatu yang relevan, praktikal dan mudah dipraktikkan.

“Majlis Perwakilan Murid tahun ini membuktikan apa yang berlaku apabila kita memberi ruang kepada murid untuk bersuara, mereka menunjukkan tabiat kewangan yang positif, mengajar rakan sebaya melalui sesi interaktif, dan menjadikan literasi kewangan sebagai satu budaya di sekolah,” katanya.

Melalui sesi ini, seramai 100 ahli majlis berpeluang berinteraksi secara langsung dengan 100 orang murid lain dari sekitar Lembah Klang.

Peranan mereka menandakan satu perkembangan penting dalam program ini daripada sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh guru kepada advokasi yang diterajui oleh murid sendiri, di mana murid menjadi peneraju dalam memupuk literasi kewangan di sekolah dan komuniti masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN