BEKERJA dari rumah (BDR) merupakan satu amalan seseorang yang melaksanakan tugas rasmi kerja dari kediaman mereka dan bukan di pejabat yang mula dilaksanakan secara meluas semasa penularan wabak Covid-19.
Kerajaan Malaysia melalui Dasar BDR bagi penjawat awam, membenarkan pelaksanaan fleksibel tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan dan memastikan ia tidak menjejaskan perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, sektor swasta kini turut mengadaptasi cara kerja ini sebagai norma baharu dalam mengimbangi keseimbangan hidup dan kerja (work life balance).
Ringgit minggu ini berkongsi enam panduan untuk orang yang bekerja dari rumah berdasarkan penelitian penulis dan laman sesawang.
Persediaan ruang kerja
Anda perlu mewujudkan ruang khusus seperti sediakan sudut khas untuk bekerja yang boleh membezakan antara ruang kerja dan ruang peribadi.
Selain itu, anda kena memastikan keselesaan dengan mereka bentuk ruang kerja anda mengikut ergonomik dan keselesaan, sekali gus menjaga persekitaran dengan pencahayaan yang mencukupi.
Pengurusan masa dan produktiviti
Anda perlu merancang jadual harian supaya mempunyai rutin teratur dan fleksibel, yang sesuai dengan puncak produktiviti anda.
Gunakan senarai tugas untuk menguruskan keutamaan kerja dan cuba kurangkan gangguan daripada ahli keluarga atau persekitaran lain.
Sambungan internet yang pantas
Anda harus memastikan mempunyai sambungan internet yang stabil dan pantas.
Dalam masa sama, pastikan anda menggunakan platform yang selamat supaya tidak digodam, dengan memastikan perisian antivirus sentiasa dikemas kini.
Komunikasi berkesan dengan majikan dan pasukan
Walaupun bekerja dari rumah, pastikan anda sentiasa berhubung dengan rakan sepasukan dan majikan atau penyelia melalui mesyuarat dalam talian atau platform komunikasi rasmi.
Pastikan anda kekal aktif dalam perbincangan kumpulan agar tidak ketinggalan dalam tugasan dan perkembangan semasa organisasi.
Seimbangkan urusan kerja dan kehidupan harian
Anda wajib tetapkan had masa kerja yang jelas agar tidak terbawa tekanan kerja ke dalam kehidupan peribadi.
Ambil rehat yang mencukupi, lakukan regangan ringan atau aktiviti santai untuk memastikan kesejahteraan fizikal dan mental terjaga.
Disiplin dan motivasi diri
Kejayaan bekerja dari rumah bergantung kepada tahap disiplin dan motivasi anda sendiri supaya tidak memberi kesan kepada prestasi kerja.
Mulakan hari dengan pola fikiran positif, berpakaian kemas walaupun bekerja di rumah dan tetapkan sasaran harian supaya anda tidak terlalu tertekan dalam memenuhinya. – UTUSAN










