RAMAI orang terutamanya golongan muda pada zaman kini semakin cenderung untuk mencari pekerjaan sambilan selepas waktu bekerja utama, bagi menampung keperluan harian serta komitmen bulanan mereka.
Selain membantu menambah pendapatan, pekerjaan sambilan juga memberikan pengalaman berharga, memperluas rangkaian profesional dan meningkatkan kemahiran individu.
Bagaimanapun, pekerjaan ini mestilah yang diminati supaya anda boleh menjana pendapatan tambahan tanpa merasa beban.
Kerja-kerja sambilan sebenarnya boleh ditemui melalui portal pekerjaan seperti Maukerja, Indeed dan JobStreet untuk mencari jawatan yang tersedia.
Selain itu, bagi mereka yang memiliki kemahiran khusus, platform freelance membolehkan anda menawarkan perkhidmatan dan kepakaran terus kepada pelanggan, sekaligus membuka peluang kepada pendapatan tambahan secara fleksibel.
Ringgit minggu ini berkongsi enam jenis pekerjaan sambilan yang boleh menjadi sumber pendapatan tambahan berdasarkan penelitian penulis dan rujukan laman sesawang.
- Penulis bebas
Jika anda mempunyai jiwa menulis dan minat yang mendalam terhadap perkataan, pekerjaan ini sangat sesuai.
Penulis bebas boleh menulis artikel, blog, kandungan media sosial atau bahan pemasaran untuk pelbagai jenis perniagaan. Hampir semua syarikat memerlukan penulis untuk menghasilkan kandungan yang menarik dan berkualiti.
- Ejen dropship
Menjadi ejen dropship membolehkan anda menjual produk secara dalam talian tanpa perlu menyimpan stok sendiri.
Anda hanya perlu mempromosikan barang orang lain melalui media sosial atau platform e-dagang dan setiap jualan akan memberikan komisen kepada anda.
Kelebihan utama dropship ialah risiko rendah dan modal permulaan yang minima.
- Pembantu maya peribadi
Bagi individu yang teratur, cekap dan boleh menguruskan pelbagai tugasan pejabat dari jauh, peranan pembantu maya peribadi sangat sesuai.
Tugas termasuk membalas e-mel, mengurus kalendar, memasukkan data, menyediakan laporan dan mengurus media sosial membolehkan anda bekerja dari rumah sahaja.
- Pengajar tuisyen dalam talian
Jika anda pakar dalam subjek tertentu seperti matematik, sains, bahasa atau sejarah, pengajaran secara dalam talian boleh menjadi peluang sambilan yang lumayan.
Dengan kelas secara maya, anda boleh mengajar pelajar dari pelbagai lokasi tanpa perlu meninggalkan rumah melalui platform seperti Zoom, Google Meet atau aplikasi pembelajaran khusus.
- Perniagaan makanan
Bagi mereka yang pandai memasak, membuat kuih atau kek, perniagaan makanan boleh menjadi sumber pendapatan menarik.
Anda boleh menjual secara kecil-kecilan kepada keluarga, rakan, jiran atau melalui platform dalam talian serta mempunyai potensi keuntungan besar jika makanan yang dijual mendapat sambutan ramai atau menjadi viral di media sosial.
- Perkhidmatan pelanggan
Jika anda mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, bersabar dan mempunyai sambungan internet yang stabil, kerja sebagai ejen khidmat pelanggan dari rumah sangat sesuai. – UTUSAN










