Eksport Top Glove ke AS naik sebanyak 38 peratus

Eksport Top Glove ke AS naik sebanyak 38 peratus

Top Glove dijangka mencatatkan pertumbuhan jumlah jualan dua digit bagi tahun kewangan 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti eksport Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) ke Amerika Syarikat (AS) terus meningkat dengan kini menyumbang 38 peratus daripada jumlah jualan berbanding hanya 18 peratus tiga suku sebelumnya. 

Syarikat itu dijangka mencatatkan pertumbuhan jumlah jualan dua digit bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh pengisian semula pesanan yang stabil dan harga yang lebih sihat.

Ketua Penyelidikan di Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, sektor sarung tangan secara beransur-ansur mendapat semula kestabilan apabila permintaan dari AS meningkat dan kapasiti berlebihan terus berkurangan. 

“Tahun kewangan 2026 dijangka menandakan permulaan pemulihan yang lebih mampan, disokong oleh margin yang meningkat dan kejelasan pendapatan yang lebih baik. 

“Pengeluar Malaysia kekal berdaya saing melalui kawalan kos yang ketat, amalan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)  yang dipertingkat dan permintaan penjagaan kesihatan global yang teguh,” katanya dalam kenyataan.

Prospek industri sarung tangan Malaysia semakin cerah apabila Top Glove melaporkan suku keempat yang kukuh berakhir 31 Ogos 2025 dengan keuntungan bersih RM38.6 juta berbanding kerugian bersih RM6.6 juta tahun ke tahun. 

Ini menjadikan keuntungan bersih penuh tahun syarikat sebanyak RM109.1 juta bagi tahun kewangan 2025 berbanding kerugian RM64.9 juta tahun ke tahun, didorong oleh permintaan yang meningkat dari AS dan tanda awal kestabilan harga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutuf Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kazumasa Mise berkata, pemulihan sektor sarung tangan menekankan daya tahan Malaysia dalam pembuatan berasaskan eksport dan membuka peluang baharu untuk para pelabur. 

“Apabila asas semakin baik, pelabur mungkin menilai semula pendedahan kepada nama-nama terkemuka sektor ini disokong oleh kejelasan permintaan yang lebih kukuh dan dinamik industri yang lebih berdisiplin,” ujarnya. 

Top Glove baru-baru ini dinaik taraf kepada penarafan AA oleh MSCI bagi prestasi ESG, mencerminkan kemajuan dalam tadbir urus, amalan buruh, dan kelestarian. 

Peningkatan itu mengukuhkan reputasi Malaysia yang semakin berkembang sebagai sumber yang dipercayai untuk pembuatan sarung tangan yang beretika dan berkualiti tinggi.

Dalam pada itu, pengeluar tempatan lain seperti Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. turut menunjukkan prestasi lebih baik berikutan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi dan inventori yang kembali ke tahap normal. 

Penganalisis mengekalkan pandangan positif terhadap nama-nama terkemuka dalam sektor ini dengan menunjukkan bahawa jumlah jualan dan harga jualan purata (ASP) secara beransur-ansur meningkat.

Selepas beberapa tahun tekanan harga dan lebihan bekalan, persaingan yang lebih berdisiplin di kalangan pemain China, beberapa daripadanya mula menaikkan ASP secara sedikit, menunjukkan pasaran bergerak ke arah keseimbangan yang lebih mampan antara permintaan dan bekalan.

Selain itu, penganalisis turut melihat prospek jangka sederhana secara positif kerana sektor ini memasuki fasa penggabungan, walaupun terdapat risiko jangka pendek daripada kemungkinan persaingan harga dan perubahan tarif. 

Kos input yang lebih rendah dengan harga lateks semula jadi turun 14 peratus dan lateks nitril menurun 10 peratus suku ke suku turut dijangka terus menyokong keuntungan dalam beberapa suku akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN