Ekonomi Malaysia dijangka sederhana pada suku keempat

Ekonomi Malaysia dijangka sederhana pada suku keempat

EKONOMI negara dijangka tumbuh antara 4.5 hingga 5.0 peratus pada suku keempat 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana pada suku keempat tahun ini, berada dalam lingkungan 4.5 hingga 5.0 peratus.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pertumbuhan pada suku keempat tahun ini akan kekal sederhana dengan syarat tiada kejutan besar berlaku.

Katanya, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus dalam sembilan bulan pertama 2025, sekali gus menunjukkan daya tahan yang baik walaupun berdepan pelbagai cabaran global.

Jelasnya, faktor domestik terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan negara, termasuk perbelanjaan swasta yang berterusan, projek pelaburan yang sedang berjalan serta sokongan dasar kerajaan yang mengekalkan momentum ekonomi.

“Walau bagaimanapun, ke­tidaktentuan global seperti pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan rakan dagangan utama, kemungkinan ketidaktentuan pasaran kewangan dan turun naik harga komoditi boleh memberi tekanan kepada pertumbuhan.

“Secara keseluruhan, faktor domestik dijangka menyokong ekonomi, manakala cabaran luaran mungkin sedikit menyederhanakan kadar pertumbuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, laporan penyelidikan oleh CIMB Treasury and Markets Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus bagi 2025, sebelum sederhana kepada 4.1 peratus pada 2026, dengan penggunaan domestik dan pelaburan kekal sebagai pemacu utama. 

Bank itu turut menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 2.75 peratus sehingga suku pertama 2026, sebelum berpotensi diturunkan 25 mata asas pada suku kedua.

“Laporan sama menunjukkan prestasi KDNK suku ketiga 2025 kekal kukuh, didorong oleh permintaan domestik berdaya tahan, pasaran pekerja yang positif serta pemulihan ketara dalam aktiviti perlombongan.

“KDNK suku ketiga berkembang 5.2 peratus, sejajar anggaran awal, disokong oleh pertumbuhan penggunaan swasta dan peningkatan pengeluaran gas asli serta minyak mentah.

“Dari segi perdagangan luar, eksport keseluruhan kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global, dengan permintaan berkaitan elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama. 

“Namun, eksport bukan E&E menunjukkan kelemahan akibat permintaan global yang sederhana, terutama dalam kategori minuman dan tembakau, bahan kimia serta bahan api mineral,” katanya. 

CIMB turut menjangkakan perdagangan global akan perlahan pada 2026, sekali gus memberi tekanan kepada segmen bukan E&E.

Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia melaporkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, sekali gus mengatasi unjuran awal yang dianggarkan pada 4.8 peratus.

Pertumbuhan yang lebih baik berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4 peratus yang dicatat pada suku sebelumnya itu didorong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ber­kata, negara berada di landasan betul untuk mencapai paras tinggi sasaran pertumbuhan 2025 pada 4.0 hingga 4.8 peritus.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan.

“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan dan nilai yang tinggi, kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN