KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, lebih tinggi daripada 4.4 peratus pada tempoh separuh pertama.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhan 2025, momentum ekonomi Malaysia bertambah kukuh pada suku tahun ketiga 2025 didorong oleh pengembangan dalam semua sektor, khususnya sektor perkhidmatan, pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian.
“Ekonomi domestik terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang memberangsangkan dan aktiviti berkaitan pelancongan mencatatkan peningkatan ketara terutamanya semasa cuti umum dan cuti persekolahan.
“Langkah dasar monetari menyumbang kepada pengukuhan aktiviti ekonomi domestik, susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Ekonomi Suku Ketiga 2025 di Sasana Kijang, hari ini.
Beliau berkata, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan program bantuan wang tunai.
“Aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan modal yang berterusan oleh sektor swasta dan sektor awam.
“Dalam sektor luaran, eksport bersih mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan eksport yang mengatasi pertumbuhan import,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3 peratus manakala inflasi teras meningkat kepada 2 peratus (suku kedua 2025: 1.3 peratus dan 1.8 peratus).
“Meskipun inflasi teras yang lebih tinggi meningkatkan tekanan terhadap inflasi keseluruhan pada suku ketiga, hal ini diimbangi oleh penurunan harga ditadbir terpilih.
“Khususnya, harga elektrik (-4.6 peratus; suku kedua 2025: 0 peratus) dan diesel (-5 peratus, suku kedua 2025: 8 peratus) adalah lebih rendah pada suku tersebut, selaras dengan penstrukturan semula tarif elektrik baru-baru ini dan keadaan kos global yang sederhana.
“Rebakan inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, meningkat sedikit kepada 43.8 peratus pada suku itu (suku kedua 2025: 41.8 peratus), namun masih di bawah purata yang dicatatkan sebelum ini iaitu 44.5 peratus. – UTUSAN










