PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan keuntungan pra-cukai (PBT) sebanyak RM64.74 juta bagi suku ketiga tahun 2025 disokong oleh hasil sebanyak RM4.49 bilion.
Ini menunjukkan peningkatan berbanding suku yang sama berakhir pada 30 September 2024, yang merekodkan PBT sebanyak RM45.8 juta dan hasil sebanyak RM4.13 bilion.
Prestasi yang lebih kukuh bagi suku ketiga 2025 didorong oleh hasil jualan yang lebih tinggi merentasi semua sektor perniagaan automotif, hartanah, aeroangkasa dan pertahanan, perbankan, pos dan perkhidmatan.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM280.55 juta dan hasil sebanyak RM12.74 bilion, berbanding PBT sebanyak RM282.56 juta dan hasil sebanyak RM12.23 bilion bagi tempoh yang sama pada 2024.
DRB-HICOM berkata, penurunan kecil dalam PBT ini terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada sektor aeroangkasa dan pertahanan, pos dan hartanah, namun diimbangi sebahagiannya oleh keputusan yang lebih kukuh daripada sektor perbankan, automotif dan perkhidmatan.
Katanya, prestasi hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan tahun 2025 meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM12.74 bilion daripada RM12.23 bilion pada sembilan bulan 2024, disokong oleh pertumbuhan merentasi sektor-sektor utama.
“Hasil meningkat sebanyak 51.0 peratus kepada RM197.68 juta berbanding sembilan bulan 2024, RM130.89 juta, disokong oleh kemajuan dalam projek pembangunan konsesi hartanah.
“Selain itu, bagi perkhidmatan, hasil meningkat sebanyak 13.0 peratus kepada RM158.57 juta berbanding sembilan bulan 2024, RM140.33 juta sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan jumlah kenderaan komersial yang menjalani pemeriksaan dalam segmen perniagaan pemeriksaan kenderaan.
“Hasil automotif meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM8.84 bilion sembilan bulan 2024, RM8.46 bilion, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi daripada Proton,disokong oleh campuran jualan yang menggalakkan, serta peningkatan sumbangan daripada syarikat pengedaran automotif,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, hasil perbankan meningkat sebanyak 4.0 peratus kepada RM1.65 bilion berbanding sembilan bulan 2024, RM1.59 bilion didorong oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi, disokong oleh pertumbuhan perniagaan yang mampan serta peningkatan bilangan pelanggan.
“Hasil pos meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada RM1.34 bilion berbanding sembilan bulan 2024, RM1.32 bilion.
“Bagaimanapun, sektor aeroangkasa dan pertahanan pula hasil menurun sebanyak 6.7 peratus kepada RM544.88 juta berbanding sembilan bulan 2024: RM584.05 juta,” katanya.
Mengenai prospek, DRB-HICOM berkata, walaupun persekitaran perniagaan kekal mencabar, kumpulan komited terhadap agenda pendigitalan, mengoptimumkan operasidan meningkatkan kecekapan merentasi semua segmen.
“Kumpulan menjangkakan prospek sederhana bagi tahun kewanganyang berakhir pada 31 Disember 2025,” katanya.-UTUSAN










