PETALING JAYA: DKSH Malaysia bekerjasama dengan Kellanova, syarikat makanan ringan global di sebalik jenama ikonik seperti Kellogg’s dan Pringles, bagi menyediakan perkhidmatan pengedaran menyeluruh serta aktiviti pemasaran perdagangan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh kehadiran jenama-jenama tersebut dalam saluran runcit dan digital di negara ini.
Naib Presiden Barangan Pengguna Bergerak Pantas DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata, kerjasama berkenaan membuktikan keupayaan dan reputasi DKSH sebagai peneraju dalam pasaran perkhidmatan pengembangan jenama.
“Ia bukan sekadar soal skala, tetapi tentang impak dalam membuka peluang pertumbuhan baharu untuk Kellanova sambil memberikan nilai tambah kepada keluarga Malaysia melalui rangkaian jenama ikonik mereka.
“Komitmen kami ialah memastikan produk kegemaran ini lebih mudah didapati, sama ada untuk seisi keluarga atau rakan-rakan, sekali gus membawa kenikmatan lebih dekat kepada pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Melalui kerjasama itu, DKSH akan memperkukuh kehadiran pasaran bagi jenama ikonik Kellanova yang telah dinikmati pengguna Malaysia selama beberapa generasi.
Antara produk yang bakal diedarkan ialah bijirin sarapan Kellogg’s seperti Froot Loops, Coco Galaxy dan Corn Flakes, selain snek kentang Pringles Original serta Pringles Sour Cream & Onion yang terkenal dengan rasa rangup dan berani tersendiri.
DKSH turut menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran menyeluruh meliputi jualan, pemasaran perdagangan, pengedaran dan logistik, kredit serta kutipan bayaran, selain pengurusan barangan di kedai.
Produk Pringles akan diedarkan di semua saluran termasuk perkhidmatan makanan, manakala Kellogg’s akan tersedia di semua saluran kecuali perkhidmatan makanan.
Selain itu, DKSH akan melaksanakan aktiviti pemasaran perdagangan strategik bagi memastikan keterlihatan jenama yang berkesan di kedai, promosi menarik serta penglibatan pengguna yang mampu memacu pertumbuhan dan kebolehcapaian produk.
Sementara itu, kerjasama strategik itu sekali gus memperkukuh kedudukan DKSH sebagai rakan pertumbuhan pilihan bagi jenama pengguna global yang ingin memperluas hubungan mereka dengan pengguna tempatan.
Dengan rangkaian pengedaran kukuh, kepakaran runcit meluas dan pemahaman mendalam terhadap pasaran tempatan, jenama-jenama ikonik Kellanova kini bersedia menjangkau lebih banyak isi rumah serta mencipta lebih banyak detik kenikmatan di seluruh negara. – UTUSAN









