Capital A capai fasa akhir keluar daripada PN17

Capital A capai fasa akhir keluar daripada PN17

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Capital A Bhd telah mengumumkan satu langkah penting yang menandakan kemajuan ketara dalam pelan penstrukturan semula menyeluruhnya, dengan sasaran utama untuk keluar daripada status PN17 menjelang akhir Disember ini.

Pengumuman itu mengesahkan tarikh kelayakan bagi pengagihan saham biasa baharu AirAsia X Berhad (AAX) kepada pemegang saham Capital A yang layak, sebagai sebahagian daripada prosedur terakhir pelupusan perniagaan penerbangan syarikat kepada AAX.

Pengagihan saham akan dilaksanakan melalui dividen dalam bentuk saham, melalui pengurangan dan pembayaran balik modal saham terbitan Capital A.

Ketua Pegawai Kewangan Capital A, Mun Hui Teh berkata,  penetapan tarikh kelayakan itu merupakan tonggak penting menandakan langkah yang semakin hampir kepada fasa akhir pelupusan perniagaan penerbangan yang akan menyatukan semua syarikat penerbangan AirAsia di bawah AAX.

“Penjajaran semula strategik ini memberikan nilai terus kepada pemegang saham dan menempatkan Capital A dalam kedudukan kukuh untuk perjalanan seterusnya sebagai kumpulan digital dan pelancongan berbilang platform yang fokus dan berkembang pesat, berasingan daripada operasi penerbangan,” katanya dalam kenyataan. 

Di bawah pengagihan saham berkenaan, pemegang saham Capital A yang namanya tersenarai dalam rekod deposit pada jam 5 petang, 3 Disember 2025, akan berhak menerima saham tanpa perlu membayar sebarang kos. 

Tarikh ex-dividen ditetapkan pada 2 Disember 2025, manakala sebarang hak pecahan saham tidak akan diambil kira.

Anggaran nisbah pengagihan adalah kira-kira 389 saham AAX bagi setiap 1,000 saham Capital A, melibatkan sejumlah 1.69 bilion saham biasa baharu AAX.

Selepas penyatuan perniagaan penerbangan di bawah AAX, entiti penerbangan tunggal ini akan menumpukan kepada pengembangan rangkaian tambang rendah di seluruh rantau dan seterusnya. 

Sementara itu, Capital A akan menumpukan kepada lima perniagaan utamanya yang berpotensi tinggi, iaitu sayap kejuruteraan (ADE), penyedia logistik (Teleport), platform pelancongan (AirAsia MOVE), jenama makanan dan minuman (Santan) dan bahagian pelesenan jenama dan harta intelek (AirAsia Next).

Capital A komited untuk memacu pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang bagi pemegang saham tatkala syarikat bersedia untuk keluar daripada status PN17 dan memulakan hala tuju baharu sebagai kumpulan digital dan pelancongan berbilang platform.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN