PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad melantik Nomura Securities Malaysia Sdn. Bhd. sebagai peserta terbaharu Bursa Malaysia-i, sekali gus memperluas akses pelabur kepada pasaran pelaburan patuh Syariah negara.
Pelantikan itu menjadikan Nomura Securities broker asing kedua yang menyertai platform pelaburan patuh Syariah hujung-ke-hujung tersebut, sekali gus membuka laluan kepada penyertaan lebih meluas daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, penambahan penawaran perkhidmatan perantaraan saham Islam oleh Nomura Securities mencerminkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap cadangan nilai pasaran modal Islam Malaysia.
“Dengan penyertaan ini, kami mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelaburan patuh Syariah.”
“Lebih 80 peratus sekuriti tersenarai di Bursa adalah patuh syariah, mewakili 66 peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran bernilai RM2 trilion.
“Pasaran kita berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi permintaan pelabur domestik dan global yang mencari instrumen pelaburan patuh Syariah,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Nomura bagi Asia Tenggara, Kelvin Ho berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran strategik syarikat berkenaan.
“Pembukaan perkhidmatan perantaraan saham Islam ini adalah pelengkap semula jadi kepada perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan,” katanya.
Perkhidmatan perantaraan saham Islam membolehkan pelabur berdagang sekuriti patuh syariah melalui tingkap Islam khusus atau perantara Islam sepenuhnya.
Ini dengan memastikan pemisahan jelas antara transaksi konvensional dan syariah bagi aktiviti dagangan dan pasca dagangan.
Sementara itu, bilangan Organisasi Peserta (PO) Bursa Malaysia yang menyediakan perkhidmatan ini terus meningkat. Dengan penyertaan Nomura Securities, rangkaian Bursa Malaysia-i kini merangkumi 20 PO Islam.
Senarai PO Islam tersebut ialah Affin Hwang Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, BIMB Securities Sdn. Bhd. (sepenuhnya), CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd., CIMB Securities Sdn. Bhd., Hong Leong Investment Bank Berhad dan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd.
Ia turut merangkumi Kenanga Investment Bank Berhad, Malacca Securities Sdn. Bhd., Maybank Investment Bank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, M&A Securities Sdn. Bhd., NewParadigm Securities Sdn. Bhd., Nomura Securities Malaysia Sdn. Bhd., Phillip Capital Sdn. Bhd., Public Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad, TA Securities Holdings Berhad, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. serta UBS Securities Malaysia Sdn. Bhd.-UTUSAN










