PETALING JAYA: BMW Group Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bagi memajukan ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara menerusi pelaksanaan program BMW NextGT.
Langkah itu menandakan satu lagi komitmen penting BMW Group Malaysia dalam memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan membina ekosistem automotif mampan serta berdaya saing seiring peralihan industri kepada teknologi kenderaan elektrik (EV).
Melalui inisiatif tersebut, BMW Group Malaysia dan STDC akan bekerjasama melatih generasi baharu juruteknik automotif dengan kemahiran bertaraf dunia, bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berorientasikan teknologi hijau dan digital.
Sebagai permulaan, tenaga pengajar teknikal STDC akan menjalani latihan praktikal intensif berpandukan Kerangka Kelayakan Juruteknik BMW, merangkumi modul-modul khas berkaitan teknologi serta konsep automotif moden.
Selepas tamat latihan, tenaga pengajar berkenaan akan menyalurkan kepakaran tersebut kepada pelajar vokasional terpilih yang mengikuti program BMW NextGT, bagi memastikan mereka menamatkan pengajian dengan pengetahuan dan kemahiran terkini sejajar dengan keperluan industri automotif global.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, industri automotif kini berada di fasa transformasi besar yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memacu inovasi masa depan.
“Kerjasama dengan STDC melalui program BMW NextGT dibina berasaskan keyakinan bahawa pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan teknikal adalah kunci membentuk masa hadapan mobiliti di Malaysia.
“Dengan memperkasakan tenaga pengajar dan pelajar melalui kemahiran serta pengetahuan selaras dengan standard global BMW, kami sedang melahirkan generasi baharu bakat Malaysia yang berupaya memimpin peralihan ke arah mobiliti mampan dan berteknologi elektrik,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri amat menghargai kepercayaan BMW Group Malaysia terhadap STDC dalam melahirkan tenaga mahir yang mampu mendukung agenda mobiliti masa depan.
“Program BMW NextGT mencerminkan komitmen Selangor untuk melahirkan bakat generasi baharu yang bersedia memimpin transformasi ke arah mobiliti mampan.
“Inisiatif ini membuktikan kekuatan kerjasama antara kerajaan dan industri dalam memperkukuh kecemerlangan TVET, di samping memperkasakan belia dengan kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia,” katanya.
Program BMW NextGT dijadualkan bermula pada tahun 2026 melalui kerjasama bersama rakan pengedar Auto Bavaria, Millennium Welt dan Quill Automobiles, dengan rancangan untuk diperluaskan kepada pengedar BMW lain mulai 2027.
Inisiatif berkenaan turut memperkukuh komitmen BMW Group Malaysia terhadap pembangunan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi, berasaskan pengalaman luas menerusi Program Latihan Teknikal BMW (BTTP) dan pensijilan Pakar Voltan Tinggi BMW (HVE) yang dikendalikan oleh Pusat Latihan Serantau BMW Group.
Program HVE yang diiktiraf antarabangsa itu telah melahirkan ramai juruteknik EV di Malaysia, melengkapkan mereka dengan kepakaran menyelenggara serta membaiki model-model BMW i berteknologi tinggi. – UTUSAN










