Batik Air Malaysia sasar 13 juta penumpang tahun depan

Batik Air Malaysia sasar 13 juta penumpang tahun depan

CHANDRAN Rama Muthy ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATIK Air Malaysia menyasarkan untuk mencapai 13 juta penumpang menjelang 2026, disokong oleh strategi pengembangan rangkaian serta kelebihan daya saing yang membezakan syarikat penerbangan itu daripada pesaing di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, sasaran itu bersamaan dengan peningkatan 35 peratus daripada jangkaan 10 juta penumpang tahun ini serta pertumbuhan daripada tujuh juta penumpang yang dicapai pada tahun lalu.

“Sasaran ini realistik berdasarkan prestasi syarikat memberangsangkan, dengan syarat ekonomi stabil, tiada risiko geopolitik dan kemudahan di lapangan terbang bertambah baik. 

“Bila ekonomi baik, pendapatan boleh guna meningkat dan antara perbelanjaan terbesar selepas makanan ialah pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Batik Air Malaysia, syarikat penerbangan hibrid berkhidmat penuh yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air, telah menjenamakan semula semua operasi pada 28 April 2022 bagi memberikan pengalaman terbaik kepada penumpang.

FOKUS HOSPITALITI, HARGA BERPATUTAN

Selain daripada rangkaian penerbangan luas dan harga kompetitif, Batik Air turut mementingkan hospitaliti dalam memberikan pengalaman terbaik kepada penumpang. 

“Semua syarikat penerbangan ada hardware iaitu kapal terbang, yang membezakan ialah software, iaitu perkhidmatan dan layanan. Matlamat saya ialah menjadikan pengguna berasa terhubung secara layanan mesra setara dengan hospitaliti.

“Anak kapal perlu melayan penumpang seperti mana mereka sendiri mahu dilayan iaitu berkomunikasi, senyum dan hormat. Perkara ini ditekankan setiap hari. Memang bukan mudah, tetapi jika dipraktikkan berulang kali, ia akan menjadi sebahagian daripada diri mereka,” katanya.

Chandran berkata, antara kekuatan utama Batik Air Malaysia adalah keupayaannya mengekalkan harga berpatutan tanpa menjejaskan keselesaan kabin dan layanan pelanggan, terutama bagi pasaran rakyat Malaysia yang menjadi segmen terbesar syarikat itu.

Katanya, mampu milik komponen penting dalam strategi syarikat iaitu dengan menyampaikan perkhidmatan pada nilai yang setimpal dengan harga. 

“Segmen keluarga dan penumpang pelbagai bangsa adalah keutamaan syarikat yang mana kami dan mereka mahukan perjalanan selesa, mudah, tetapi pada harga yang tidak membebankan.

“Malah syarikat turut mempuyai terlibat dalam FLYsiswa Batik Air iaitu program subsidi tiket penerbangan yang ditawarkan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk membantu pelajar universiti awam menempah tiket penerbangan domestik

“Terbaharu, kami juga menyokong Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan promosi harga tambang yang menarik untuk mereka pulang ke Sabah,” katanya.

Tambahnya, pasaran ini disokong dengan tawaran penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) termasuk laluan ke Kota Bharu, Johor Bahru, Alor Setar, Langkawi dan Pulau Pinang, manakala bagi penerbangan dari Subang pula, syarikat mengoperasikan laluan ke Pulau Pinang, Kota Bharu, Langkawi dan Johor Bahru. 

Batik Air Malaysia juga menawarkan penerbangan terus daripada KLIA T1 ke Bintulu, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan serta ke Kuching dan Kota Kinabalu dari Subang, selain penerbangan terus daripada Kota Kinabalu ke Tawau, Kuching dan Sandakan.

CHANDRAN Rama Muthy (tengah) bersama kru kabin Batik Air Malaysia.

LALUAN DOMESTIK & ANTARABANGSA

Syarikat penerbangan ini  turut mempunyai liputan laluan antarabangsa yang meluas bukan sahaja di Asia Tenggara dan Australia, juga penerbangan ke Korea, India termasuk Trichy, Kochi, Bangalore, Delhi dan Mumbai; China (Guangzhou, Zhengzhou, Chengdu, Kunming, Changsha dan Xiamen), Jepun (Osaka dan Tokyo); Uzbekistan (Tashkent), Emeriah Arab Bersatu (Dubai) dan banyak lagi.

Malah turut merancang meningkatkan armada mereka sebanyak 50 peratus kepada 70 pesawat Boeing 737s dan 15 pesawat Airbus A330s dalam tempoh tiga ke lima tahun akan datang.

“Kami mempunyai sekitar 48 pesawat narrow-body dan enam wide-body ketika ini dan tambahan pesawat baharu adalah sejajar dengan matlamat syarikat untuk menjadikan KLIA sebanyak sebagai hab serantau atau gateway to Asia.

“Apabila jumlah pesawat meningkat, kami juga meningkatkan frekuensi domestik, terutamanya ke Sabah dan Sarawak. Kami telah menambah laluan Kuala Lumpur–Kota Kinabalu, Kuala Lumpur–Kuching dan penerbangan intra Sabah–Sarawak seperti Kuching–Kota Kinabalu, Kota Kinabalu–Sandakan dan Kota Kinabalu–Tawau. 

“Kami juga telah melancarkan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Incheon. Ketersambungan penting kerana ia merangsang pergerakan ekonomi dan memudahkan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Chandran berkata, Malaysia berada di kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dan Asia Pasifik menjadikannya titik transit dan penghubung penting bagi

penumpang dari negara jiran termasuk Indonesia, Thailand, India dan China.

Menurutnya, Asia Pasifik kini menjadi pusat pertumbuhan penerbangan dunia dengan kadar pertumbuhan di rantau ini adalah 71 peratus lebih laju berbanding rantau lain.

Katanya, Asia Pasifik kini merupakan growth center baharu dan Malaysia pula berada di tengah-tengah tiga ekonomi besar iaitu India, China dan Indonesia dengan populasi

masing-masing pada 1.45 bilion, 1.41 bilion dan 286.6 juta.

“Malaysia berada betul-betul di tengah sebagai hab semula jadi untuk trafik transit. Malaysia juga adalah negara yang sangat stabil daripada segi cuaca dan bencana alam.

“Negara lain dalam rantau ini berdepan taufan dan gempa bumi beberapa kali setahun, tetapi Malaysia hampir tidak terkesan. Ini satu kelebihan besar yang kita selalu terlepas pandang.

“Kalau kita melihat contoh seperti Singapura dan Hong Kong, populasi mereka kecil tetapi trafik penumpang sangat besar. Singapura, walaupun penduduk hanya sekitar 6.1 juta,

mampu membawa sehingga 68 juta penumpang setahun,” katanya.

Beliau berkata, negara-negara tersebut memaksimumkan trafik transit serantau apabila negara seperti Indonesia menggunakan Singapura sebagai transit untuk terbang ke Amerika Syarikat

(AS), Eropah atau negara Asia lain yang tidak mempunyai penerbangan secara terus.

KELEBIHAN SEBAGAI HUB TRANSIT

Tambahnya, Batik Air Malaysia yang berada dalam Lion Air Group terbang ke hampir semua 180 lapangan terbang komersial di Indonesia, menjadikannya memiliki akses kepada trafik

Indonesia.

Akses tersebut membolehkan syarikat penerbangan tersebut boleh bawa penumpang masuk ke Malaysia untuk disambungkan ke rangkaian antarabangsanya.

“Tahun ini sahaja, kami telah membuka 14 laluan antarabangsa baharu termasuk Osaka, Tashkent, Dubai dan Incheon. Penumpang untuk laluan-laluan ini bukan hanya orang Malaysia, tetapi juga trafik transit.

“Apabila mereka transit dan berkunjung di Malaysia, mereka juga akan berbelanja di sini dan seterusnya merancakkan ekonomi. Secara purara seorang pelancong membelanjakan kira-kira RM4,000 bila berada di Malaysia dan ini memberikan impak dan pendapata kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Chandran berkata, laluan ini membolehkan penumpang menikmati pengalaman transit yang selesa di Malaysia, dengan sebahagian mengambil peluang untuk melancong singkat, termasuk

lawatan ke di Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan mereka ke destinasi antarabangsa.

Tambahnya, Batik Air Malaysia juga menyasarkan Malaysia sebagai hab kepada rakan-rakan syarikat penerbangan seperti Qatar Airways, Emirates, KLM, Turkish Airlines, Oman Air, Etihad,

ANA dan beberapa syarikat China.

“Dengan itu, mereka boleh sambungkan penumpang ke destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bahru, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan lain-lain.

“Baru-baru ini, kami melebarkan laluan terus ke Singapura dari tiga destinasi iaitu Subang, Ipoh dan Pulau Pinang bermula 8 Disember 2025. Berdasarkan data pelancongan, pelancong

Singapura ialah pelancong nombor satu masuk ke Malaysia.

“Jadi kami mahu mudahkan pergerakan pelancong, bukan hanya yang selalu ke Johor dan Melaka tetapi terus ke utara seperti Ipoh dan Pulau Pinang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, KLIA juga menjadi hub utama bagi penerbangan umrah Batik Air Malaysia, dengan Airbus 330 yang beroperasi dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Jeddah.

“Ini membolehkan penumpang dari seluruh Indonesia transit sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci. Strategi ini membolehkan penumpang menginap atau melancong singkat di

Malaysia, menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui perbelanjaan di destinasi pelancongan, makanan dan perkhidmatan lain,” katanya.

KELESTARIAN DAN OPERASI CEKAP

Mengulas mengenai amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), beliau berkata, Batik Air Malaysia menekankan kepentingan kelestarian termasuk pembangunan bangunan baharu

berasaskan tenaga solar, penggunaan lampu LED dan pesawat Boeing 737 MAX yang menjimatkan bahan api serta mengurangkan pencemaran bunyi.

“Syarikat itu juga memperkenalkan sistem pra tempahan makanan untuk mengurangkan pembaziran sehingga 60 peratus, sekali gus menyokong agenda keselamatan makanan dan

operasi penerbangan lebih cekap,” katanya yang turut menjangkakan 2026 sebagai tahun positif dengan lebih banyak pesawat, penumpang, destinasi dan pengalaman pelanggan lebih baik.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan penerbangan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi dan mewujudkan lebih 659,000 pekerjaan. Tahun ini sahaja,

trafik penumpang di Malaysia meningkat 11 peratus.

“Jika tiada kejutan besar, pandemik baharu atau ketidaktentuan dalam pasaran, pertumbuhan akan berterusan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN