Bank islam catat pendapatan bersih RM2 bilion pada 2025

Bank islam catat pendapatan bersih RM2 bilion pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM2 bilion, meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun pada sembilan bulan tahun kewangan 2025..

Peningkatan itu disokong oleh peningkatan 74.3 peratus tahun ke tahun kepada RM451.7 juta yang membanggakan dalam pendapatan bukan berasaskan dana, mencerminkan nisbah pendapatan bukan berasaskan dana sebanyak 11.9 peratus. 

Prestasi itu turut didorong oleh keuntungan bersih lebih tinggi daripada penjualan sekuriti pelaburan, peningkatan pendapatan daripada urus niaga pertukaran asing, dan pendapatan fi serta komisen yang lebih kukuh. 

Bagaimanapun, keuntungan bersih itu merosot sedikit sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun kepada RM382.2 juta, disebabkan kos overhed lebih tinggi dan peningkatan elaun rosot nilai ke atas pembiayaan, diterjemahkan kepada Pendapatan Sesaham (EPS) 16.86 sen dan Pulangan Ekuiti (ROE) bersih tahunan 6.7 peratus.

Pertumbuhan pendapatan berasaskan dana bersih yang sederhana kepada RM1.6 bilion, mencerminkan kesan semakan kadar dasar semalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, tahun ini bermula dengan penyederhanaan ekonomi global, ketegangan geopolitik, dan keadaan kewangan yang ketat merentasi pasaran utama. 

“Persaingan yang semakin sengit, jangkaan kawal selia yang berubah dan permintaan pelanggan yang semakin meningkat dalam negeri memerlukan kami bertindak tegas dan jelas. 

“Berlatarbelakangkan keadaan ini, Bank Islam telah mempamerkan keteguhan operasi, disokong daya tahan kami dan berpegang kepada prinsip syariah.

“Kumpulan bertekad dalam komitmen untuk mencipta nilai mampan untuk pelanggan dan pemegang saham, menerapkan prinsip ESG ke dalam model perniagaan, serta memajukan kewangan sosial Islam sebagai pemangkin pertumbuhan inklusif dan pembangunan sosio-ekonomi. 

“la tidak mungkin dapat dicapai tanpa kepercayaan dan sokongan pelanggan, kakitangan dan pemegang taruh ketika kami terus mengukuhkan kedudukan sebagai institusi kewangan Islam unggul, memberikan impak dan pertumbuhan jangka panjang yang positif untuk komuniti yang menerima khidmat kami,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, kumpulan turut merekodkan pencapaian penting dengan Jumlah Aset mencapai RM102.7 bilion pada akhir September 2025, melepasi sasaran strategik RM100 bilion menjelang Disember 2025. 

Ini mencerminkan peningkatan 9.6 peratus tahun-ke-tahun, didorong oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan pelaburan yang lebih tinggi dalam sekuriti. Oleh itu, aset bersih sesaham berjumlah RM3.55.

Jumlah pembiayaan kasar kumpulan pula tumbuh 7.2 peratus tahun ke tahun, mencecah RM73.4 bilion pada akhir September 2025. 

Momentum kukuh itu didorong oleh pertumbuhan sihat tahun ke tahun daripada Perbankan Runcit dan Perbankan Institusi, masing-masing pada 5.1 peratus dan 15.0 peratus.

Pertumbuhan juga disokong oleh peningkatan 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM83.8 bilion dalam deposit pelanggan dan akaun pelaburan. CASATIA berada pada RM30.0 bilion, mencerminkan komposisi sihat sebanyak 35.8 peratus pada akhir September 2025.

Setakat 30 September 2025, nisbah pembiayaan terjejas kasar berada pada 1.04 peratus, di bawah purata industri sebanyak 1.41 peratus, menggambarkan kualiti aset Kumpulan yang kukuh. Nisbah Jumlah Modal kekal teguh pada 20.3 peratus. 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir September 2025, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen satu peringkat interim tunai sebanyak 10 sen sesaham biasa, berjumlah RM226.6 juta. 

Bank Islam kekal komited untuk memberikan pulangan yang kompetitif kepada para pemegang sahamnya, sambil terus melabur dalam inisiatif yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN