Armanee @ Bandar Tasik Puteri dibangun dengan GDV RM212j

Armanee @ Bandar Tasik Puteri dibangunkan dengan GDV RM212 juta

ARMANEE @ Bandar Tasik Puteri (BTP) menampilkan 258 unit rumah teres dua tingkat dengan harga bermula daripada RM690,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUMPULAN Low Yat melancarkan Armanee @ Bandar Tasik Puteri (BTP), fasa kediaman terbaharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM212 juta dalam kawasan perbandaran seluas 1,080.5 hektar di Rawang, Selangor. 

Projek ini memperkukuhkan lagi portfolio pembangunan mesra keluarga kumpulan itu, susulan pengiktirafan yang diterima di Star Property Real Estate Developer Awards 2025 menerusi Anugerah Family-Friendly (Landed, Selangor) bagi projek terdahulu iaitu Amaya.

Menampilkan 258 unit rumah teres dua tingkat dengan harga bermula daripada RM690,000 dan keluasan binaan antara 1,810 hingga 2,254 kaki persegi, setiap unit Armanee dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik air. 

Pengurus Besar Hartanah Kawasan, Pembangunan dan Pengurusan bagi Rawang Lakes, Andrew Goh berkata, kewujudan Armanee adalah lambang kekuatan selama dua dekad kumpulan Low Yat di koridor utara Lembah Klang.

“Kami melihat permintaan yang berterusan terhadap rumah bertanah yang dirancang dengan baik di Rawang, khususnya dalam kalangan pembeli rumah pertama dan keluarga yang ingin menaik taraf kediaman yang mana mereka mencari alternatif yang lebih mampu milik di luar kawasan utama Lembah Klang.

“Armanee mencerminkan trend tersebut dengan menggabungkan rekaan praktikal berinspirasi Skandinavian, kemudahan berteraskan komuniti serta harga yang berpatutan,” katanya dalam kenyataan. 

Kawasan kediaman berpagar dan berpengawal ini turut menampilkan kelab komuniti eksklusif, taman landskap, taman permainan serta laluan joging. 

Kemudahan lain termasuk kolam renang, kawasan barbeku, gelanggang pickleball dan bola keranjang serta kelengkapan peralatan kecergasan yang menggalakkan gaya hidup aktif untuk seisi keluarga. 

Fasa pertama meliputi keluasan lima hektar, menawarkan 140 unit yang kini dibuka untuk tempahan, dengan tempoh siap dijangka dalam masa 36 bulan.

Terletak dalam perbandaran serba lengkap yang kini menempatkan lebih 100,000 penduduk, Bandar Tasik Puteri telah berkembang menjadi hab pinggir bandar yang pesat, dilengkapi kemudahan pendidikan, komersial, riadah dan gaya hidup, termasuk Tasik Puteri Golf and Country Club serta Central Park.

Projek ini menyasarkan golongan profesional muda, keluarga moden serta pelabur hartanah yang mencari keseimbangan antara kemampuan, keluasan dan kebolehcapaian, di samping potensi peningkatan nilai dalam perbandaran yang semakin matang.

Penduduk juga turut menikmati akses terus ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN