PETALING JAYA: Lebih 13,000 peserta membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyertai acara larian paling dinanti-nantikan, Garmin Run Asia 2025 (Malaysia) dengan Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) tampil sebagai Penaja Premium menerusi produk tenaga berasaskan asid amino, aminoVITAL, baru-baru ini.
Produk tersebut membekalkan tenaga, ketahanan dan pemulihan otot kepada peserta sepanjang acara, selaras dengan usaha syarikat menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran AMB, Akihiko Nozaki berkata, penglibatan mereka bukan sekadar penajaan, tetapi satu komitmen untuk membina komuniti aktif dan sihat.
“Kami mahu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk hidup lebih sihat, aktif dan bertenaga. Melalui aminoVITAL, kami menyokong mereka mencapai prestasi terbaik dalam setiap langkah,” katanya dalam kenyataan.
AMB turut menaja seramai 22 pelari, termasuk 10 kakitangan syarikat, 12 atlet jenama, serta beberapa personaliti media.
Atlet jenama Alicia Toh Chia Yin turut mencipta kejayaan apabila meraih Naib Johan kategori 10 kilometer Wanita Veteran.
“Saya amat berterima kasih kepada Ajinomoto atas sokongan mereka. aminoVITAL membantu saya mengekalkan tenaga dan fokus sepanjang larian,” katanya.
Acara berprestij itu dirasmikan oleh Akihiko Nozaki bersama wakil serantau Garmin, Hideki Ara (AJICO Sport Nutrition) dan Yusuke Mizuno (ARH), yang turut menyertai acara utama sebagai tanda sokongan kepada para pelari.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif serantau merentasi 10 negara termasuk Jepun, Korea dan Malaysia, Garmin Run Asia 2025 berjaya menarik lebih 65,900 peserta di seluruh Asia.
Melalui penyertaan dalam acara ini, AMB sekali lagi mengukuhkan kedudukan aminoVITAL sebagai minuman sukan berasaskan asid amino nombor satu di Jepun, serta peneraju dalam mempromosikan kesihatan, ketahanan dan semangat komuniti di Malaysia. – UTUSAN










