Affin catat untung sebelum cukai RM540.1 juta bagi tempoh sembilan bulan 

Affin catat untung sebelum cukai RM540.1 juta bagi tempoh sembilan bulan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Affin mencatatkan untung sebelum cukai (PBT) selepas zakat sebanyak RM540.1 juta, meningkat 9.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2025 berbanding RM494.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan pendapatan bersih sebanyak RM136.1 juta, meskipun sebahagiannya diimbangi oleh peruntukan kerugian penurunan nilai berjumlah RM14.8 juta, berbanding pemulihan penurunan nilai sebanyak RM69.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pinjaman dan pembiayaan kasar pula mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.7 peratus kepada RM76.1 bilion, berbanding RM70.1 bilion pada tempoh yang sama berakhir 30 September 2024.

Deposit pelanggan meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM77.3 bilion, manakala nisbah Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) susut kepada 25.8 peratus pada 30 September 2025, berbanding 26.9 peratus pada 30 September 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin berkata, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, prestasi suku ketiga kumpulan mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin dalam persekitaran kadar faedah yang berubah. 

“Kami secara aktif menguruskan melalui penetapan harga semula dan pertumbuhan asas CASA kami untuk mengurangkan kesan dan menyokong pendapatan faedah bersih yang mampan. 

“Ini walaupun pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini telah menyebabkan sedikit pemampatan Margin Faedah Bersih. 

“Portfolio pembiayaan peribadi bermargin tinggi kami terus berkembang selaras dengan strategi ini,” katanya dalam kenyataan. 

Menurutnya, pelancaran kad Visa Debit Selangor dan Sabah baru-baru ini mencerminkan strategi kumpulan untuk mengeksploitasi peluang pasaran serantau melalui penawaran produk yang disesuaikan secara tempatan. 

“Inisiatif akaun gaji selanjutnya turut menyokong strategi ini dengan mengukuhkan hubungan gaji dan meningkatkan baki CASA yang stabil. 

“Segmen perbankan belia baru Affin, FINTURA menyokong pertumbuhan CASA dengan menarik pelanggan muda lebih awal, mengukuhkan aliran deposit dan membina penglibatan lebih mendalam di setiap peringkat kehidupan.

“Selain itu, pendapatan berasaskan yuran terus berkembang, didorong oleh permintaan yang lebih kukuh terhadap penyelesaian kekayaan dan pelaburan baharu kami. 

“Ini termasuk penawaran Produk Pelaburan Berstruktur Islamik (ISP), yang memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan mempelbagaikan asas pendapatan kami,” ujarnya. 

Dari segi kecemerlangan operasi, Affin telah meningkatkan platform pengurusan perbendaharaan dan risiko kepada FIS Treasury and Risk Manager – Quantum Edition di ketiga-tiga entiti perbankan. 

“Ini memberikan kami paparan masa nyata ke atas tunai dan kecairan, aliran kerja bersepadu dari hadapan ke belakang, serta keupayaan risiko dan kawalan yang lebih kukuh. 

“Ia menyokong peningkatan berterusan dan keputusan lembaran imbangan yang lebih berasaskan data. 

“Pencapaian ini turut diiktiraf dengan Anugerah Kecemerlangan Operasi sebagai pengiktirafan terhadap peningkatan proses yang signifikan. 

“Kumpulan juga telah menyiapkan peningkatan sistem AML pada Julai 2025, yang memperkukuh lagi rangka kerja pematuhan dan kawalan pemantauan transaksi,” katanya. 

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi kumpulan, Affi telah menandatangani Perjanjian Pembelian Saham untuk memperoleh Pheim Asset Management Sdn. Bhd.

“Pengambilalihan ini membolehkan kami membangunkan dana baharu dengan tema pelaburan yang berbeza, melengkapkan perniagaan perbankan persendirian dan kekayaan sedia ada. 

“Ia juga meluaskan rangkaian penyelesaian pengurusan aset, pengurusan portfolio dan penasihatan untuk pelanggan kami. 

“Langkah ini menyokong visi dan strategi jangka panjang kami untuk membina francais perbankan universal yang lebih menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN