Abu Huraira dilantik Pengerusi baharu PIDM

Abu Huraira dilantik Pengerusi baharu PIDM

ABU HURAIRA ABU YAZID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah yang baharu, berkuat kuasa 15 November lalu.

Beliau menggantikan Datuk Sri Dr. Zukri Samat yang telah bersara daripada jawatan berkenaan.

PDIM berkata, Abu Huraira mempunyai pengalaman luas dalam sektor awam dan industri kewangan, khususnya dalam operasi perbankan, pengurusan risiko dan tadbir urus kewangan. 

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Berhad.

Selain itu, beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan utama di institusi kewangan, termasuk Ahli Lembaga Pengarah United Overseas Bank (M) Bhd. serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Simpanan Nasional.

Ketika ini, Abu Huraira merupakan Pengerusi MISC Berhad, Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn. Bhd. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) dari Universiti Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, pelantikan itu diyakini dapat mengukuhkan tadbir urus serta hala tuju strategik organisasi.

“Dengan pengalaman luas beliau serta rekod kepimpinan dalam pelbagai organisasi penting, Datuk Abu Huraira mampu menyumbang kepada usaha PIDM dalam memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan sistem kewangan,” katanya.

Rafiz turut merakamkan penghargaan kepada Zukri atas sumbangan sepanjang menerajui Lembaga PIDM.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan dan pandangan beliau sepanjang tempoh menyandang jawatan Pengerusi. Kami mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua urusan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN