PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) melantik Datuk Abdul Rashid Musa sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu bermula 1 November 2025 dan akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.
Abdul Rashid merupakan seorang tokoh berpengalaman dalam industri automotif negara, kembali ke Proton dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan produk.
Sepanjang perkhidmatan beliau di Proton sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknikal sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.
Selain itu, antara pencapaian penting ketika itu termasuk pelancaran Proton X70 pada 2018, yang menjadi titik perubahan penting bagi jenama Proton.
Selepas meninggalkan Proton, beliau menyertai UMW Holdings Berhad dan menguruskan beberapa portfolio utama melibatkan mobiliti, inovasi serta pembangunan industri mampan, sekali lagi membuktikan komitmen beliau dalam memajukan ekosistem automotif Malaysia.
Li Chunrong berkata, pengalaman luas Abdul Rashid Musa dalam industri automotif dan pengetahuannya mengenai operasi syarikat akan memberi nilai penting dalam menyokong agenda transformasi Proton serta memperkukuh pertumbuhan masa depan.
“Proton berbesar hati menyambut semula penyertaan Datuk Abdul Rashid Musa dalam syarikat ini.
“Pada masa sama, kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil yang telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari 10 Jun hingga 31 Oktober tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Dengan pelantikan tersebut, Ainol Azmil akan kembali kepada peranan asal beliau sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, selain terus menguruskan bahagian Perolehan Teknikal Kumpulan Proton sebagai Pengarah Kanan.
Syarikat itu merakamkan ucapan terima kasih atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan kelangsungan operasi pengurusan sepanjang tempoh tersebut. – UTUSAN









