95% mangsa pindah wang secara sedar kepada scammer - Utusan Malaysia

95% mangsa pindah wang secara sedar kepada scammer

ABDUL RASHEED GHAFFOUR - GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 peratus daripada kes penipuan di negara ini melibatkan pemindahan wang secara sedar oleh mangsa kepada scammer, menunjukkan jurang kesedaran yang ketara dan menekankan kepentingan pendidikan pengguna.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, skim penipuan semakin canggih, menjadikan memperkasakan pengguna dengan pengetahuan semakin penting.

Katanya, kesedaran dalam kalangan pengguna perkhidmatan kewangan adalah barisan pertahanan pertama dalam usaha membanteras penipuan.

“Mendidik mereka tentang kaedah penipuan baharu dan melengkapkan mereka dengan alat untuk melindungi diri mereka sendiri adalah tanggungjawab kita bersama.

“Kempen #JanganKenaScam yang dilancarkan pada Oktober 2023 telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam, dengan tinjauan mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 responden kini menyedari amaran penipuan daripada pihak bank,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) Ke-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Acara tersebut, yang berlangsung dari 4 hingga 6 November menghimpunkan lebih 50 pakar antarabangsa dan serantau serta lebih 1,200 profesional perbankan, antara lain bagi memperkukuhkan agenda pencegahan jenayah kewangan berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Abdul Rasheed berkata, pada suku pertama 2025 sahaja, pihak polis telah merekodkan 12,110 kes penipuan dalam talian di seluruh negara, melibatkan kerugian sebanyak RM 573.7 juta.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang ditubuhkan pada Oktober 2022 telah menerima 263,683 panggilan sehingga suku ketiga 2025 dan berjaya merampas RM12.91 juta, manakala RM1.99 juta dana yang dicuri telah dikembalikan kepada mangsa.

Dalam pada itu, Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Tan Sri Azman Hashim berkata, sistem yang secanggih mana sekalipun tidak dapat menggantikan pertimbangan yang bijak serta asas nilai yang kukuh.

“Dalam era digital ini, setiap daripada kita memainkan peranan sebagai benteng pertahanan yang mana sikap berwaspada, beretika dan profesional menjadi pelindung kepada sistem kewangan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN