YWM sasar bangun hospital pakar patuh syariah di setiap negeri

YWM sasar bangun hospital pakar patuh syariah di setiap negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyasarkan membangunkan hospital pakar patuh syariah berkonsep wakaf di setiap negeri di Malaysia, susulan pecah tanah pembangunan hospital patuh syariah konsep sama di Semenyih baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, hasrat yayasan supaya hospital ini dibangun dengan sokongan sektor korporat, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Kementerian Kesihatan, institusi perbankan Islam dan para pemegang taruh lain.

Katanya, hospital ini akan dilengkapi dengan kemudahan mesra ibadah seperti al-Quran, panduan ibadah pesakit, kemudahan solat, tayamum dan sokongan kerohanian. 

“Segala ini bakal memberikan pengalaman rawatan yang berbeza dan lebih bermakna berbanding hospital konvensional.

“Lebih penting, projek ini selari dengan aspirasi Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) yang menyasarkan agar wakaf menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang tahun 2030.

“Saya yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembinaan rangkaian hospital wakaf di seluruh negara,” katanya pada majlis pecah tanah Hospital Pakar Semenyih tersebut.

Majlis pecah tanah tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hospital pakar patuh syariah bercirikan wakaf pertama di Malaysia itu dibangunkan YWM dengan kerjasama Highfield Healthcare Sdn. Bhd. 

Tambah Mohd Na’im, langkah ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem wakaf tetapi turut meningkatkan akses kesihatan berkualiti yang akhirnya akan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengalu-alukan penglibatan dan sokongan daripada semua pihak agar hasrat ini dapat direalisasikan.

“Saya juga mengalu-alukan sektor korporat serta pemain industri kesihatan untuk bersama-sama berganding bahu dengan YWM dalam membangunkan lebih banyak hospital pakar, pusat dialisis dan pusat rehabilitasi berteraskan wakaf di masa hadapan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN