UMW Toyota terajui pasaran bukan nasional, jual 8,172 unit pada September - Utusan Malaysia

UMW Toyota terajui pasaran bukan nasional, jual 8,172 unit pada September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMW Toyota Motor (UMWT) terus menunjukkan prestasi positif apabila mencatat jualan sebanyak 8,172 unit pada September, menjadikan jumlah keseluruhan jualan tahun ini meningkat kepada 70,418 unit.

Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional terlaris di Malaysia, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap kenderaan hibrid elektrik (HEV) serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan (QDR) produk Toyota.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata, pencapaian itu menunjukkan pelanggan masih yakin dengan nilai dan inovasi praktikal Toyota, meskipun industri automotif berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar dan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Kami komited menawarkan nilai sebenar kepada pengguna melalui kenderaan yang menjimatkan, berteknologi dan praktikal.

“Dalam konteks rasionalisasi subsidi, rangkaian hibrid kami menjadi pilihan bijak untuk membantu pengguna mengurus peningkatan kos bahan api,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, UMWT kini memperkukuh kedudukan dalam segmen elektrifikasi menerusi kempen ‘HEV It All’ yang berlangsung dari September hingga November ini, bagi meningkatkan kesedaran terhadap manfaat teknologi hibrid Toyota.

Antara kelebihan utama teknologi HEV ialah pengecasan sendiri semasa pemanduan, pemanduan lebih senyap, serta penjimatan bahan api lebih tinggi berbanding kenderaan konvensional.

Beliau berkata, pelanggan turut menikmati waranti bateri HEV selama lapan tahun dan waranti kenderaan lima tahun, kedua-duanya dengan jarak perbatuan tanpa had.

“Model popular seperti Corolla Cross Hybrid terus menjadi pilihan utama kerana Toyota menawarkan penjimatan jangka panjang serta manfaat terhadap alam sekitar, UMWT menawarkan penyelesaian yang praktikal, terbukti dan relevan,” katanya.

Dalam usaha mengekalkan kepercayaan pelanggan, UMWT turut memperkukuh perkhidmatan selepas jualan melalui program Toyota Extra Mile dan aplikasi Toyota MY App yang menyediakan kemudahan servis, penjagaan dan kebolehpercayaan di setiap langkah perjalanan.

Selain itu, program Toyota Service Savers menawarkan penjimatan sehingga 10 peratus bagi alat ganti dan tenaga kerja, dengan bayaran penyelenggaraan serendah RM31 sebulan.

Sebagai tambahan, pelanggan boleh menikmati rebat sehingga RM8,000 bagi model terpilih sepanjang tempoh promosi, menjadikan Toyota pilihan bernilai tinggi dalam pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN