Trend lompat kerja beri kesan terhadap pasaran buruh

Trend lompat kerja beri kesan terhadap pasaran buruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA ‘job hopping’ atau kerap bertukar kerja semakin ketara dalam kalangan pekerja muda di Malaysia, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kesannya terhadap pasaran buruh, syarikat serta kestabilan kerjaya jangka panjang.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, kecenderungan ini biasanya berlaku ketika ekonomi stabil dan peluang pekerjaan terbuka luas.

Katanya, faktor utama yang mendorong pekerja muda bertukar kerja ialah keinginan mencari gaji lebih tinggi bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

“Selain faktor kewangan, ramai juga pekerja muda mencari pekerjaan lebih selamat dan sesuai dengan kelayakan, di samping mengutamakan jaminan masa depan.

“Persekitaran kerja turut memainkan peranan. Budaya toksik, komunikasi sehala, penafian hak, dan tiada ruang toleransi sering membuatkan pekerja muda mengambil keputusan meninggalkan majikan sedia ada. 

“Ada juga yang melakukannya semata-mata mahu mencari pengalaman baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, fenomena itu memberi kesan langsung kepada produktiviti syarikat, khususnya apabila berlaku dalam skala besar.

“Dalam jangka pendek, syarikat kehilangan masa untuk menggantikan tenaga kerja berkualiti. Kos tambahan perlu dikeluarkan bagi pengambilan dan latihan pekerja baharu, dan ini menjejaskan kecekapan operasi,” jelasnya.

Mengulas dari sudut sosioekonomi, Mohd. Faisol berkata tekanan kos sara hidup memang menjadi pemacu besar kepada fenomena tersebut.

Job hopping boleh dianggap sebagai strategi survival bagi anak muda. Mereka cuba mencari kerja yang menjanjikan pendapatan lebih baik demi mengelakkan beban hutang isi rumah dan membina kehidupan lebih selesa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa trend itu turut membawa risiko kepada pekerja.

“Pengalaman daripada pelbagai tempat kerja boleh meningkatkan nilai tambah pekerja muda, tetapi pada masa sama majikan juga boleh melihatnya sebagai masalah sikap. Ini akhirnya menjejaskan peluang untuk mendapat pekerjaan yang lebih stabil.

“Jika trend ini berterusan, Malaysia mungkin berdepan cabaran daya saing tenaga kerja. Justeru, kerajaan, majikan dan pekerja sendiri perlu mencari titik keseimbangan antara mobiliti kerja dan kestabilan kerjaya,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula menegaskan, faktor gaji permulaan rendah merupakan punca utama pekerja muda, khususnya graduan, sering menukar kerja.

“Walaupun kerajaan telah melaksanakan gaji minimum RM1,700, ia hanya meliputi pekerjaan bukan mahir. Ramai graduan baharu dengan pengalaman kerja asas terus mencari pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi, terutama bagi menampung kos sara hidup di bandar-bandar besar.

“Tanpa sokongan ibu bapa, agak sukar untuk graduan bertahan dengan gaji RM3,000 sebulan di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya.

Tambah beliau, persaingan antara majikan swasta untuk mendapatkan pekerja berpengalaman antara dua hingga tiga tahun juga semakin sengit.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku fenomena perebutan pekerja (staff pinching) yang ketara, terutama dalam industri sama,” tambahnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN