Thailand yakin ASEAN mampu perkukuh daya saing ekonomi - Utusan Malaysia

Thailand yakin ASEAN mampu perkukuh daya saing ekonomi

SUPHAJEE Suthumpun ketika ditemui pemberita di Persidangan Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN diyakini dapat memperkukuh daya saing ekonomi rantau ini serta berdepan cabaran global dengan lebih berkesan.

Menteri Perdagangan Thailand, Suphajee Suthumpun berkata, ASEAN kini memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan geopolitik. 

“Adalah penting bagi negara-negara ASEAN mengekalkan perpaduan bagi memperkukuh kedudukan rantau ini dalam perdagangan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. 

Beliau berkata, negara itu telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pelaksanaan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan kini berada di landasan yang tepat untuk memenuhi garis masa yang ditetapkan.

“Thailand amat komited untuk memajukan beberapa inisiatif penting yang telah diketengahkan,” katanya. 

Beliau berkata, Thailand menyatakan komitmen penuh untuk memperkukuh pelaksanaan inisiatif Perjanjian DEFA dengan sasaran penyempurnaan menjelang tahun hadapan.

“DEFA merupakan komponen utama, dan kami telah menetapkan tempoh masa bagi memastikan penyempurnaannya menjelang tahun depan. Enam bulan akan datang adalah tempoh yang amat kritikal,” katanya.

Suphajee berkata, pelbagai keutamaan dan inisiatif lain yang dibincangkan dalam mesyuarat ekonomi ASEAN berjalan lancar dengan kemajuan yang memberangsangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN