TH kekal kos dan kadar bayaran haji 

TH kekal kos dan kadar bayaran haji 

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengawal peningkatan kos, sekali gus mengekalkan kos haji dan kadar bayaran haji bagi jemaah Muassasah untuk musim haji 1447H/2026 sama seperti musim haji yang lalu.

Institusi haji negara itu berkata, kos untuk menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassaah tidak meningkat bagi tiga tahun berturut-turut dan ini dapat dicapai walaupun berdepan dengan persekitaran kos di Tanah Suci yang terus meningkat. 

Katanya, kos keseluruhan untuk menunaikan haji musim haji 1447H/2026M dikekalkan pada kadar RM33,300 untuk seorang jemaah Muassasah.

TH turut mengekalkan bayaran haji kekal untuk semua kumpulan dan pada masa yang sama masih menanggung Bantuan Kewangan Haji iaitu untuk kumpulan B40 membayar sebanyak 45 peratus bersamaan RM15,000, M40 membayar 71 peratus (RM23,500) dan T20 membayar sepenuhnya pada kadar RM33,300.

Bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah haji negara kumpulan yang layak, TH dianggarkan bakal menanggung RM210 juta Bantuan Kewangan Haji bagi musim haji 1447H/2026M.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, TH berkeyakinan dapat terus memberikan tahap perkhidmatan yang cemerlang. 

“Kami berbangga dengan pencapaian anugerah ‘Diamond Award’ Labaytum pada musim lepas yang turut mengharumkan nama Malaysia dan kami akan berusaha untuk terus mengekalkan tahap perkhidmatan tinggi yang sentiasa diharapkan.

“Bagi musim haji 1447H/2026M, kami telah membuat persediaan untuk menetapkan kos dan bayaran haji lebih awal. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia atas sokongan beliau terhadap usaha kami. 

“Kami juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mengekalkan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah B40,” katanya dalam kenyataaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, TH dapat mengekalkan kos haji melalui langkah strategik melibatkan tempahan awal dan kontrak penyewaan jangka panjang bangunan penginapan untuk melindungi jemaah haji daripada kesan inflasi di Makkah dan Madinah. 

“Beberapa bangunan penginapan yang baharu dengan kemudahan moden telah dikenalpasti untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji.

“Dalam pada itu, TH juga telah memeterai kontrak penerbangan selama lima tahun bagi mengawal daripada ketidaktentuan harga,” ujarnya.

Sejak Bantuan Kewangan Haji diperkenalkan pada 2001, jumlah terkumpul Bantuan Kewangan Haji yang ditanggung oleh TH telah mencecah lebih RM2.72 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Sementara itu, TH telah memperkenalkan kadar Bantuan Kewangan Haji sejak 2022 secara bersasar ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit. 

“Bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, kadar bayaran haji yang dikenakan hanyalah 45 peratus daripada kos haji penuh selepas mengambil kira Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 dan bantuan Kerajaan Madani sebanyak RM1,000 seorang. 

“Bantuan dari TH dan Kerajaan Madani adalah lebih separuh (iaitu 55 peratus) daripada Kos Haji. Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada kos haji keseluruhan.

“Jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh haji sebanyak RM33,300 seorang,” jelasnya.

TH berkata, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1447H/2026M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober 2025. 

Bagi mereka yang tidak menerima surat tawaran kerana belum tiba giliran, TH akan membuka peluang merayu bermula 3 November 2025 melalui platform THiJARI. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN