Selangor kekal peneraju pelaburan, catat RM35 bilion separuh pertama 2025 - Utusan Malaysia

Selangor kekal peneraju pelaburan, catat RM35 bilion separuh pertama 2025

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Majlis Makan Tengahari Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2025 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam. –utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan diluluskan kira-kira RM35 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian itu menunjukkan keberkesanan dasar pelaburan serta keupayaan Selangor menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Dengan pelaksanaan dasar yang kukuh dan seiring dengan Selangor kini mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pulangan pelaburan (ROI) daripada aset-aset strategiknya.

“Selangor terus menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan sumbangan sekitar 26 peratus, sekali gus membuktikan kekuatan ekonominya,” katanya dalam ucapan semasa Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2025 di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, Selangor bukan sekadar nadi perindustrian Malaysia, malah berpotensi menjadi landasan pelancaran pelabur ke pasaran ASEAN.

“Dengan infrastruktur bertaraf dunia, rantaian bekalan yang kukuh dan ekosistem perniagaan dinamik, Selangor memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai pintu utama eksport dan pelaburan ke rantau ini,” ujarnya. 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Pelabuhan Klang yang merupakan antara pelabuhan kontena tersibuk di dunia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan utama negara memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama rantau ASEAN.

Beliau berkata, kedua-dua aset strategik itu menjadi pemangkin utama kepada sektor perdagangan, logistik dan jaringan hubungan antarabangsa, sekali gus menghubungkan Malaysia dengan rantaian bekalan serantau dan global pada ketika dunia menekankan kepelbagaian serta daya tahan ekonomi.

“Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah memastikan keupayaan dan dinamisme Selangor terus disepadukan dalam strategi pembangunan nasional, bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan bersama ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, melangkah ke hadapan, kerajaan negeri berhasrat membuka bidang baharu dalam sektor rel dan sains hayat. 

“Kedua-dua sektor ini penting untuk diberi tumpuan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat serta mempersiapkan Selangor menghadapi cabaran sebagai masyarakat yang semakin menua,” katanya. 

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2025 (SIBS 2025) berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Penganjuran edisi kesembilan ini dijangka menghimpunkan ribuan peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk pemain industri, pelabur serta usahawan yang berminat meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Selangor serta rantau ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN