KUALA LUMPUR: Sektor swasta berperanan dalam memacu perubahan ke arah pembangunan hijau dan digital, termasuk pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur digital serantau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pertumbuhan digital tidak mungkin berlaku tanpa infrastruktur.
Ujarnya, pusat data, kesalinghubungan dan identiti digital bukan sekadar komponen teknikal, tetapi instrumen kedaulatan, kepercayaan dan daya saing jangka panjang.
“Malaysia kini sedang memposisikan diri sebagai hab serantau bagi AI dan inovasi digital dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan, memperkukuh tadbir urus serta memastikan teknologi digunakan untuk manfaat manusia.
“Pelabur global melihat ASEAN bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi rakan kongsi strategik dalam membina kemakmuran bersama.
“Untuk memperkasakan transformasi ASEAN, kita mesti menggabungkan inovasi dengan keterangkuman, memobilisasi modal awam-swasta, kewangan hijau dan modal gabungan sebagai enjin perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurutnya, ASEAN sedang membentuk hala tuju masa depan dengan menekankan kerjasama, inovasi dan kelestarian.
“Blok serantau yang mempunyai lebih 680 juta penduduk kini bukan sekadar kisah pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya menjadi pendorong utama kepada hala tuju ekonomi global.
“ASEAN bukan lagi hanya kisah pertumbuhan, namun rantau yang terus menentang arus global dan menetapkan haluannya sendiri,” katanya
Mengulas mengenai kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, beliau berkata, ia bukan sekadar gelaran simbolik, sebaliknya mandat untuk menerajui perubahan ke arah masa depan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.
Katanya, dalam dunia pasca-pandemik dan perubahan teknologi pantas, isu kelestarian tidak lagi hanya dianggap sebagai pematuhan, tetapi menjadi kelebihan daya saing baharu bagi negara dan syarikat.
“Perbincangan mengenai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kini telah berubah daripada pematuhan kepada impak, serta daripada kewajipan kepada peluang.
“Malaysia sendiri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Strategi Pelaburan Hijau, Pelan Induk Perindustrian Negara dan Pelan Peralihan Tenaga Bersih bagi mempercepatkan transformasi ini,” katanya. – UTUSAN









