RMFLS 2025: Simpanan golongan sederhana merosot

RMFLS 2025: Simpanan golongan sederhana merosot

SIEW Yuen Tuck (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services Malaysia, Dawn Lai (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif KAF Digital Bank Berhad, Rafiza Ghazali dalam majlis Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2025 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan sederhana khususnya antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan menunjukkan kemampuan menyimpan yang semakin merosot, berdasarkan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2025 oleh RinggitPlus.

RMFLS mendapati hanya 23 peratus berjaya menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan berbanding 29 peratus pada tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Siew Yuen Tuck berkata, jumlah rakyat yang menyimpan kurang daripada RM500 sebulan meningkat kepada 39 peratus daripada tahun 2024.

“Daya tahan kewangan juga semakin lemah dengan hanya 27 peratus menyatakan mereka mampu bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan berbanding 32 peratus pada tahun lalu. 

“Golongan ini juga merupakan satu-satunya kumpulan pendapatan yang mengurangkan perbelanjaan hiburan, makan di luar dan langganan untuk menguruskan bajet peribadi mereka,”katanya dalam majlis taklimat RMFLS 2025 di sini hari ini.

Tambahnya, tinjauan RMFLS 2025 turut mendapati perkembangan positif dalam kalangan rakyat Malaysia berpendapatan rendah apabila lebih ramai mengambil langkah keselamatan kewangan jangka panjang.

“Sebanyak 55 peratus daripada mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan telah mula merancang untuk persaraan dan meningkat daripada 48 peratus pada 2024.

“Inisiatif ini mencerminkan kesan berterusan inisiatif pendidikan kewangan, program sokongan kerajaan dan kenaikan gaji minimum dalam membantu komuniti yang paling terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,”katanya

Menurut Yuen Tuck, tahap celik kewangan juga semakin baik apabila hanya 40 peratus responden berpendapatan rendah yang menyatakan mereka tidak mengenali skor kredit iaitu berkurang daripada 45 peratus pada tahun 2024.  

“Sebanyak 36 peratus responden berpendapatan rendah menyatakan mereka secara aktif mengelakkan penggunaan kaedah pembayaran Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL).

“Hal ini menunjukkan perubahan ke arah pengurusan hutang yang lebih berhati-hati khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN