PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh dan dijangka bergerak dalam julat antara RM4.19 hingga RM4.20 disokong oleh sentimen positif susulan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur.
Pada pukul 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1850/1910 berbanding dolar AS daripada 4.1980/2030 pada penutup Selasa.
Mata wang tempatan kemudian ditutup pada 4.1900/1950.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ini turut menjadi faktor yang membantu menstabilkan pasaran serantau.
“Sidang Kemuncak tersebut dilihat sebagai pemangkin kepada kestabilan dan integrasi ekonomi global di Asia Tenggara, sekali gus mengurangkan premium risiko pasaran dan menyokong pengukuhan ringgit.
“Perkara ini dilihat positif untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang disebabkan potensi pasaran yang lebih luas, serta jangkaan kemasukan pelabur asing ke Malaysia yang akan meningkatkan permintaan terhadap mata wang ringgit pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dalam masa sama, keyakinan terhadap potensi perjanjian perdagangan yang lebih baik antara AS dan China turut mendorong sentimen positif dalam pasaran global.
Hasil lelongan bon Perbendaharaan AS bagi tempoh matang tiga bulan dan lima tahun masing-masing menurun kepada 3.73 peratus dan 3.63 peratus berbanding 3.81 peratus dan 3.71 peratus pada lelongan sebelumnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS minggu ini, disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan memotong kadar faedah pada mesyuarat Jumaat ini.
Katanya, sentimen pelabur terhadap mata wang serantau dijangka bertambah baik sekiranya Fed mengambil langkah tersebut, memandangkan langkah pelonggaran monetari biasanya menekan dolar AS dan menggalakkan aliran masuk modal ke pasaran sedang pesat membangun.
“Pasaran kini menilai dengan lebih yakin bahawa Fed akan beralih ke dasar yang lebih longgar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi AS yang semakin perlahan. Ini akan memberikan kelebihan kepada mata wang seperti ringgit,” katanya.
Selain itu, jelasnya, rundingan perdagangan antara China dan Jepun mengenai isu tarif turut menjadi tumpuan utama pelabur minggu ini.
Ujarnya, sebarang kemajuan dalam rundingan tersebut dijangka memberikan hala tuju positif kepada pasaran kewangan dunia.
“Namun begitu, jika rundingan itu gagal mencapai kata sepakat dalam masa terdekat, ketidaktentuan perdagangan global berkemungkinan menekan semula nilai dolar AS dan menyebabkan pergerakan mata wang menjadi lebih tidak menentu,” katanya. – UTUSAN










