PETALING JAYA:Ringgit kekal kukuh pada paras RM4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun semalam ditutup agak rendah berbanding kelmarin.
Ia susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang menurunkan kadar faedah dana persekutuan sebanyak 25 mata asas kepada 3.75 hingga 4.0 peratus, iaitu penurunan kadar faedah kedua tahun ini.
Pada sesi awal pagi semalam, ringgit meningkat kepada 4.1835/2050 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1850/1900 pada Rabu.
Mata wang tempatan kemudian ditutup pada 4.1970/2020.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, penurunan kadar faedah AS telah melemahkan dolar, menjadikan aset dalam mata wang tempatan seperti ringgit lebih menarik kepada pelabur asing, terutamanya dalam ekuiti dan bon tempatan.
“Jangkaan terhadap pengukuhan ringgit ini kekal positif dalam jangka pendek hingga sederhana, selagi ekonomi domestik kekal stabil, inflasi terkawal dan aliran pelaburan asing berterusan.
“Namun begitu, pergerakkan ringgit masih boleh dipengaruhi oleh faktor luaran seperti ketidaktentuan geopolitik, harga komoditi global dan dasar monetari negara maju, maka pengurusan risiko dan diversifikasi ekonomi kekal penting untuk mengekalkan kestabilan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fed AS pada Rabu memutuskan untuk menurunkan kadar faedah dana persekutuan sebanyak 25 mata asas kepada 3.75 hingga 4.0 peratus, pemotongan kadar kedua tahun ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selepas mesyuarat dasar, penunjuk yang ada menunjukkan aktiviti ekonomi berkembang pada kadar sederhana, pertambahan pekerjaan menurun tahun ini dan kadar pengangguran meningkat sedikit tetapi kekal rendah hingga Ogos.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pengukuhan mata wang tempatan itu bukan sekadar fenomena sementara, sebaliknya sebahagian daripada trend global serta faktor asas ekonomi Malaysia yang semakin stabil.
“Ringgit dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang, namun saya tidak menjangkakan “naik tanpa had” berikutan jangkaan dasar monetari yang lebih longgar dan aliran masuk dana asing ke pasaran serantau.
“Sementara itu, beberapa penganalisis juga menjangkakan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS akan berada dalam julat antara RM4.40 hingga RM4.10 menjelang awal tahun depan, bergantung kepada perkembangan kadar faedah global dan data inflasi serantau,” ujarnya. – UTUSAN










