PUTRAJAYA:Penyedia penyelesaian bilik air pintar dan produk sanitari, Rigel Technology (M) Sdn. Bhd. melancarkan bilik pameran gaya hidup pertamanya di Malaysia, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi sanitari moden dan pintar di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rigel, Christopher Ng berkata, pusat pameran itu menggabungkan rekaan pintar, inovasi mesra alam dan keselesaan moden di bawah satu bumbung.
Beliau berkata, ia turut menampilkan rangkaian produk bilik air pintar serta teknologi terkini Rigel yang memberi inspirasi kepada gaya hidup sihat dan lestari.
“Pelancaran bilik pameran ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan dan inovasi berterusan dalam usaha membentuk masa depan kehidupan pintar yang lebih mampan dan berteknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat pameran itu di Petaling Jaya, semalam.
Majlis pelancaran pusat pameran itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.
Pada majlis sama, Rigel turut memperkenalkan sistem tandas pintar Internet-of-Toilet (IoT) iaitu sebuah inovasi yang menggunakan peranti terhubung untuk mengoptimumkan kebersihan, kecekapan tenaga dan pemantauan prestasi fasiliti secara masa nyata.
Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, pembukaan pusat pameran ini dilihat langkah positif bagi memperkukuh penggunaan teknologi moden dan lestari khususnya dalam meningkatkan kualiti kemudahan tandas awam.
Menurutnya, sejak tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan konsep Tandas Awam BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam negara.
“Konsep itu menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta dalam memastikan kemudahan awam lebih bersih, selesa dan bertaraf antarabangsa, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
“Kami percaya kejayaan mencapai aspirasi bandar pintar dan persekitaran mampan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta.
“Sehubungan itu, kementerian menyeru lebih banyak syarikat tampil memperkenalkan inovasi berdaya saing yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar, seperti yang dipelopori Rigel Technology,” katanya.-UTUSAN










