PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad mengumumkan pencapaian Resort Villa Fasa 2, yang meraih markah cemerlang 89 peratus dalam penilaian QLASSIC (Quality Assessment System in Construction) oleh CIDB Malaysia.
Keputusan yang mengagumkan ini mengatasi markah 88 peratus yang dicapai oleh Resort Villa Fasa 1, sekali gus menetapkan penanda aras baharu kecemerlangan bagi pembangunan perumahan bertanah di Malaysia.
Pensijilan QLASSIC oleh CIDB merupakan piawaian kebangsaan bagi kualiti pembinaan dan pencapaian melebihi 80 peratus dianggap sebagai kejayaan besar dalam industri ini.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee berkata, dengan pencapaian 89 peratus oleh Resort Villa Fasa 2, Matrix Concepts terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam penyampaian mutu kerja unggul, pematuhan terhadap piawaian nasional serta perhatian yang teliti terhadap setiap perincian dalam setiap peringkat pembangunan.
“Pencapaian skor QLASSIC 89 peratus adalah satu kejayaan luar biasa bagi Kumpulan dan mencerminkan dedikasi serta ketepatan pasukan kami dalam pelaksanaan
“Pemilik rumah kami layak menerima yang terbaik, dan pengiktirafan ini memperkukuh janji jenama Matrix untuk membina kediaman yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi juga tahan lama dan bernilai.
“Pencapaian ini mengukuhkan reputasi kami sebagai pemaju yang dipercayai dan sentiasa menetapkan piawaian baharu dalam landskap hartanah Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Kejayaan terbaharu ini menonjolkan usaha bersepadu yang merangkumi perancangan, reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan semuanya sejajar dengan visi Matrix Concepts untuk membina komuniti yang makmur dan lestari yang bukan sahaja memenuhi, tetapi melebihi jangkaan pelanggan.
Resort Villa kekal sebagai salah satu projek utama Kumpulan, direka untuk menawarkan pengalaman gaya hidup yang lebih eksklusif di Bandar Sri Sendayan. – UTUSAN