PSP Energy meterai perjanjian taja jamin bagi penyenaraian di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

PSP Energy meterai perjanjian taja jamin bagi penyenaraian di Pasaran ACE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PSP Energy Berhad, syarikat perdagangan dan pengedaran bahan api serta pelincir bersepadu, menandatangani Perjanjian Taja Jamin dengan Mercury Securities Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan penawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Disember ini.

IPO PSP Energy merangkumi terbitan awam sebanyak 213.80 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 74.82 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 20 peratus dan tujuh peratus daripada modal saham diperbesarkan kumpulan itu berjumlah 1.07 bilion saham selepas penyenaraian.

Daripada jumlah saham baharu itu, sebanyak 53.44 juta unit diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, manakala 48.10 juta unit ditawarkan kepada pengarah, kakitangan serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan menerusi Borang Merah Jambu.

Sebanyak 53.44 juta saham lagi ditawarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, manakala 58.82 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Bagi tawaran untuk jualan, semua 74.82 juta saham sedia ada turut diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI melalui penempatan persendirian.

Pengarah Urusan Kumpulan PSP Energy, Ong Chee Seng berkata, pelaksanaan IPO itu merupakan satu pencapaian penting yang akan memacu fasa pertumbuhan seterusnya bagi syarikat.

“Hasil kutipan daripada Terbitan Awam akan digunakan untuk memperkukuh keupayaan operasi dan mempercepat rancangan pertumbuhan kami.

“Antara keutamaan utama ialah pembelian sebuah kapal bunker baharu bagi melengkapkan tiga kapal sedia ada untuk memperluas perniagaan bunkering serta mengkomersialkan hab perkhidmatan bunkering baharu kami di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka yang dijangka mula beroperasi pada separuh pertama tahun 2026.

“Sebahagian daripada hasil kutipan turut akan digunakan bagi pembelian produk bahan api tambahan dan lori tangki baharu untuk meningkatkan kapasiti bekalan dan pengedaran syarikat. 

“Pelaburan itu akan memperkukuh kedudukan PSP Energy sebagai pedagang dan pengedar dipercayai serta menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan dalam sektor minyak dan gas hiliran negara,” katanya dalam kenyataan.

Melalui perjanjian tersebut, Mercury Securities akan menjamin sejumlah 101.54 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada orang awam dan pemohon di bawah Borang Merah Jambu.

PSP Energy terlibat secara utama dalam perdagangan dan pengedaran produk bahan api serta pelincir. 

Dengan pengalaman lebih 13 tahun dalam industri minyak dan gas hiliran, kumpulan itu telah membina reputasi sebagai pembekal petroleum yang boleh dipercayai serta menyokong pelbagai sektor industri di seluruh negara.

Kumpulan memiliki dan mengendalikan dua loji simpanan berlesen di Telok Gong, Pelabuhan Klang, disokong oleh 42 lori tangki jalan raya dan tiga kapal bunker, membentuk rangkaian operasi kukuh bagi penghantaran produk dan perkhidmatan yang cekap serta boleh diharap.

Sebagai rakan dagang diiktiraf lima syarikat minyak dan gas utama di Malaysia, PSP Energy terkenal dengan disiplin operasi yang tinggi, pematuhan standard ketat serta keupayaan pelaksanaan yang terbukti, menjadikannya antara pengedar dan pedagang bahan api yang dipercayai dalam pasaran.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil terus mendorong permintaan tinggi terhadap produk bahan api, khususnya dalam sektor pengangkutan, pembuatan, pembinaan dan penjanaan tenaga. 

Dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada tahun 2026, PSP Energy dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti ekonomi negara yang dijangka menyumbang kepada peningkatan volum jualan serta permintaan berterusan bagi produk diesel dan minyak marin.

Mercury Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN