PETALING JAYA:Proton menerusi anak syarikat mobiliti elektriknya Pro-Net melancarkan Proton e.MAS 5, model kenderaan elektrik (EV) kompak kedua di bawah jenama e.MAS yang disasarkan untuk mempercepat penggunaan mobiliti elektrik dalam pasaran Malaysia.
Ia ditawarkan pada harga RM59,800 bagi varian Prime dan RM72,800 bagi Premium atau masing-masing pada RM56,800 dan RM69,800 selepas rebat pelancaran sehingga 31 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, Proton e.MAS 5 menandakan satu lagi detik membanggakan buat Pro-Net dalam usaha Syarikat menerajui peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik.
“Menerusi jenama Proton e.MAS, kami membawa teknologi hijau agar dapat diskses oleh semua rakyat Malaysia dengan menggabungkan inovasi canggih, keselamatan yang boleh dipercayai dan mampu milik untuk menjadikan pemilikan EV sesuatu yang mampu dicapai oleh semua.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh ekosistem EV tempatan dan menyokong perjalanan Malaysia menuju mobiliti lestari sertamasa depan sifar bersih,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, Proton e.MAS 5 menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia, dengan lebih 5,000 tempahan dicatatkan dalam tempoh hanya tiga minggu.
“Pencapaian ini menunjukkan keyakinan dan minat yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik mampu milik sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober lalu melalui siaran langsung khas,” katanya.
Sebagai model kedua dalam barisan Proton e.MAS, Proton e.MAS 5 melambangkan komitmen Pro-Net dalam memacu penggunaan EV secara meluas di Malaysia.
Dibangunkan berasaskan prinsip kemampuan milik, praktikaliti dan kegunaan harian, model ini direka khas untuk pembeli EV pertama yang mencari pengalaman pemanduan yang lebih pintar, bersih dan menjimatkan.
Aplikasi Proton e.MAS turut membolehkan pemilik memantau bateri dan menyejukkan kabin dari jauh.
Model ini dikuasakan motor belakang, dengan varian Prime menghasilkan 79 hp dan 130 Nm bersama bateri 30.12 kWh LFP untuk jarak 225 km (WLTP).
Varian Premium menawarkan 116 hp dan 150 Nm dengan bateri 40.16 kWh LFP bagi jarak 325 km (WLTP).
Kedua-duanya menyokong pengecasan AC 6.6 kW, manakala pengecasan pantas DC pada 53 kW (Prime) dan 71 kW (Premium) mampu mengecas 30 peratus hingga 80 peratus dalam kira-kira 21 minit.
Sebagai tanda penghargaan atas pelancaran ini, Pro-Net memperkenalkan Power Packs eksklusif bernilai sehingga RM 8,000 untuk pelanggan terawal, yang menawarkan nilai lebih tinggi, kemudahan lebih baik dan pengalaman pemilikan yang lebih menyakinkan. – UTUSAN

 
								 
											









