Premier China sertai PM lawat ruang pameran Proton sempena Sidang Kemuncak ASEAN - Utusan Malaysia

Premier China sertai PM lawat ruang pameran Proton sempena Sidang Kemuncak ASEAN

LI Qiang (tiga kiri) dan Anwar Ibrahim (tiga kanan) melawat ruang pameran Proton yang menampilkan dua model terbaharu iaitu Proton Saga serba baharu dan Proton e.MAS 5 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang melawat ruang pameran Proton yang menampilkan dua model terbaharu iaitu Proton Saga serba baharu dan Proton e.MAS 5 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kehadiran kedua-dua pemimpin itu turut menggariskan kepentingan sektor automotif sebagai bidang kerjasama utama dalam menyokong agenda transformasi negara serta penglibatan berterusan China dalam pembangunan industri automotif Malaysia.

Proton berkata, paparan dua model baharu itu mencerminkan kejayaan kerjasama strategik antara DRB-HICOM Bhd dan Geely Holding Group dalam memacu transformasi Proton ke arah menjadi syarikat automotif moden dan berdaya saing di peringkat global.

Melalui perkongsian tersebut, Proton menggabungkan kepakaran kejuruteraan tempatan dengan teknologi terkini daripada Geely bagi memperkukuh ekosistem automotif negara.

“Usaha ini turut menyokong pembangunan kemahiran baharu, mendorong inovasi tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan dan berimpak tinggi.

“Proton Saga serba baharu yang dibangunkan berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA) merupakan model pertama direka bentuk, dibangunkan dan diuji sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan dengan sokongan teknikal daripada Geely.

“Model ini turut memiliki hak harta intelek (IPR) sepenuhnya milik PROTON, satu pencapaian penting yang mencerminkan keupayaan rakyat Malaysia menghasilkan kenderaan menepati piawaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu, serta Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar.

Sementara itu, syarikat itu berkata, Proton e.MAS 5 pula merupakan kenderaan elektrik (EV) mampu milik pertama Malaysia, serta model kedua dalam barisan e.MAS selepas kejayaan Proton e.MAS 7 dilancarkan tahun lalu.

“Model ini menjadi simbol kesediaan Proton memacu peralihan negara ke arah mobiliti hijau, selaras dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Paparan dua model baharu Proton pada Sidang Kemuncak ASEAN juga memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China serta menunjukkan komitmen bersama.

“Ini dalam memperluas kerjasama dalam bidang industri, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berterusan.

“Inisiatif ini turut sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau menerusi pembangunan Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

“Projek strategik tersebut dijangka menjadi pemangkin utama kepada pelaburan berteknologi tinggi, aktiviti pembuatan dan inovasi masa depan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri automotif di Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN