PMB Investment umum agihan pendapatan 1.56 sen seunit bagi PMB Dana Bestari

PMB Investment umum agihan pendapatan 1.56 sen seunit bagi PMB Dana Bestari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 1.56 sen seunit bagi PMB Dana Bestari untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2025 dengan jumlah agihan keseluruhan bernilai RM3.2 juta. 

Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan pula ialah 54 sen, yang diselaraskan kepada 53 sen selepas agihan. 

Agihan ini, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 30 September 2025, mewakili hasil sebanyak 3.01 peratus berdasarkan NAB akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, PMB Dana Bestari mencatat pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 45.68 peratus atau purata pulangan tahunan sebanyak 15.22 peratus setakat 30 September 2025. 

“Pulangan terkumpul untuk lima tahun pula adalah sebanyak 67.90 peratus, bersamaan purata pulangan tahunan sebanyak 13.58 peratus setakat 30 September 2025. 

“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, piawaian tadbir urus yang kukuh serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan untuk para pelabur kami,” katanya dalam kenyataan. 

Dilancarkan pada 1975, PMB Dana Bestari merupakan dana ke-lapan yang diperkenalkan oleh PMB Investment. 

Dalam keadaan pasaran yang normal, dana itu memperuntukkan antara 70 peratus hingga 99.5 peratus daripada NAB kepada ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang patuh syariah. 

Baki selebihnya akan dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, sukuk dan/atau pelaburan lain yang dibenarkan menurut syariah.

Dalam pada itu, peruntukan ekuiti itu disemak secara aktif dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi dan pasaran global, serantau dan domestik. 

Ini termasuk penilaian menyeluruh terhadap faktor politik, ekonomi dan persekitaran perniagaan sebelum sebarang keputusan pelaburan dibuat.

Sementara itu, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, prestasi mampan sepanjang beberapa dekad lalu mencerminkan dedikasi kumpulan yang tidak berbelah bahagi terhadap pelaburan beretika dan pengurusan dana yang berhemah. 

“Dalam menghadapi persekitaran pasaran yang semakin kompleks, fokus kami kekal untuk memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang unit di samping memelihara prinsip pematuhan Syariah dan integriti kewangan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN